Sentoria fail writ saman tuntut ganti rugi RM679 juta daripada OCBC, batalkan jaminan korporat | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sentoria fail writ saman tuntut ganti rugi RM679 juta daripada OCBC, batalkan jaminan korporat

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 3 Feb – Sentoria Group Bhd  telah memfailkan writ saman di Mahkamah Tinggi Malaya terhadap OCBC Bank (Malaysia) Bhd bagi membatalkan jaminan korporat yang diberikan bagi dua anak syarikatnya.

 

Writ tersebut difailkan pada 30 Januari 2026 dan melibatkan jaminan korporat yang diberikan bagi pihak Sentoria Borneo Land Sdn Bhd dan Sentoria Borneo Samariang Sdn Bhd, kedua-duanya anak syarikat milik penuh Sentoria yang kini berada di bawah pengurusan penerima.

 

Sentoria memohon deklarasi mahkamah bahawa jaminan korporat itu tidak boleh dikuatkuasakan dan turut memohon perintah bagi membatalkan jaminan tersebut. 

 

Syarikat itu juga menuntut pampasan atau ganti rugi berjumlah RM679 juta.

 

Menurut Sentoria, writ tersebut masih belum disampaikan kepada OCBC Bank dan dijangka akan diserahkan dalam tempoh enam bulan dari tarikh pemfailan.

 

Pada April tahun lalu, Sentoria mengumumkan pelantikan penerima bagi kedua-dua anak syarikat berkenaan selepas mereka gagal memenuhi obligasi bayaran balik pinjaman menjelang 28 Mac 2025.

 

Sentoria Borneo Samariang, yang diklasifikasikan sebagai anak syarikat utama, mencatatkan aset bersih negatif sebanyak RM29.7 juta pada 30 September 2023, mewakili 18 peratus daripada jumlah aset kumpulan.

 

Sementara itu, Sentoria Borneo Land, yang bukan anak syarikat utama, mencatatkan aset bersih negatif sebanyak RM48.7 juta dalam tempoh yang sama.

 

Di peringkat kumpulan, Sentoria melaporkan kerugian bersih sebanyak RM89.04 juta berbanding pendapatan RM7.55 juta bagi tahun kewangan yang berakhir 30 September 2024. 

 

Syarikat itu telah mengalami kerugian sejak 2019 dan dikategorikan sebagai PN17 pada Disember 2024 selepas ekuiti pemegang saham jatuh kepada 33 peratus daripada modal berbayar.

 

Bursa Malaysia sebelum ini memberi lanjutan enam bulan sehingga 3 Jun 2026 bagi Sentoria mengemukakan pelan pemulihan untuk menangani status PN17 mereka. - DagangNews.com