Sentimen pasaran hartanah dikhuatiri terjejas susulan syarat baharu pelupusan aset lebih RM20 juta, kata Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sentimen pasaran hartanah dikhuatiri terjejas susulan syarat baharu pelupusan aset lebih RM20 juta, kata Maybank IB

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 2 Mac – Garis panduan baharu pelupusan hartanah oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dijangka menekan sentimen sektor hartanah.


Maybank Investment Bank berkata, ia dikhuatiri memberi kesan jangka pendek apabila syarat pegangan ekuiti bumiputera dinaikkan kepada 50% daripada 30% bagi transaksi bernilai RM20 juta ke atas. 


Peraturan lebih ketat itu berpotensi mengecilkan kumpulan pembeli berkelayakan, sekali gus boleh menjejaskan penilaian aset direalisasi serta memperlahankan pelan pelupusan dan pengewangan tanah.


"Garis panduan yang diperkenalkan oleh Kementerian Kewangan dan berkuat kuasa 18 November 2025 itu terpakai kepada semua GLC dan GLIC," kata firma penyelidikan tersebut dalam nota kajian hari ini.


Antaranya kata Maybank IB, termasuk Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), yang dikenal pasti memiliki hartanah.


Menurutnya, walaupun hartanah industri turut tertakluk kepada garis panduan itu, pengecualian boleh diberi jika pembeli memperoleh lesen pembuatan daripada kerajaan untuk membangunkan tanah tersebut.


Firma penyelidikan itu berpandangan kriteria yanglebih ketat mungkin memperlahankan sebahagian pelupusan aset dalam tempoh terdekat serta menambah kerumitan kepada strategi kitar semula modal.


"Bagaimanapun, dengan perancangan awal dan kejelasan dasar, risiko pelaksanaan dapat dikurangkan," kata Maybank IB sambil menyatakan antara syarikat yang berpotensi terkesan termasuk pemilik tanah.


Sebagai contoh jelas firma tersebut, Sime Darby Property Berhad dilaporkan mencadangkan penjualan berkeluasan 111 hektar tanah di Semenyih, Selangor bernilai RM274 juta kepada Mah Sing Group.


Maybank IB namun menambah, ia tertakluk kepada kelulusan Unit Perancang Ekonomi (EPU), dan nilai transaksi itu bersamaan kira-kira 7% daripada anggaran keuntungan sebelum cukai syarikat bagi FY26.


Selain itu katanya, UEM Sunrise Berhad difahamkan sedang berbincang dengan pelabur berhubung tanah yang ingin dilupuskannya di kawasan perbandaran baharu yang dikenali Gerbang Nusajaya, Johor.


"Walaupun timbul kebimbangan isu pengurangan persaingan pembeli boleh menekan harga pelupusan, kami merujuk ada kes menunjukkan nilai masih kekal melalui struktur kerjasama pembangunan," jelasnya.


Secara keseluruhan, Maybank IB mengekalkan penarafan 'neutral' terhadap sektor hartanah, dengan pandangan dasar baharu itu menyokong agenda keterangkuman serta penyertaan ekuiti bumiputera.


Selain itu tambahnya, dalam jangka panjang, keadaan tersebut berpotensi menimbulkan geseran sementara terhadap aktiviti pelupusan dan kitar semula aset. - DagangNews.com