KUALA LUMPUR 8 Jun — Ketegangan rantau di Timur Tengah yang terus berlarutan dikhuatiri menjejaskan sentimen pengguna dan mempengaruhi peningkatan tekanan inflasi, menurut analisis RHB Research.
Justeru, firma penyelidikan itu berpandangan sektor produk pengguna Malaysia dijangka perlu kekal bertahan disokong perbelanjaan domestik yang stabil serta pelbagai inisiatif rangsangan kerajaan.
Syarikat-syarikat pengguna kini mengambil pendekatan lebih berhati-hati berbanding awal tahun ini, walaupun asas penggunaan domestik adalah kukuh hasil pertumbuhan ekonomi dan pasaran pekerjaan.
"Kami mengekalkan penarafan 'overweight' terhadap sektor ini dengan pilihan utama Nestle (Malaysia) Berhad, Farm Fresh Bhd, MR DIY Group (M) Bhd dan Eco-Shop Marketing Bhd," kata RHB Research lagi.
Menurutnya, saham-saham tersebut menawarkan ciri defensif yang menarik dalam suasana ketidaktentuan luaran, selain mempunyai pendedahan besar kepada permintaan pasaran domestik yang lebih stabil.
Tambah firma penyeldikan tersebut, Nestle dan Farm Fresh dijangka terus mendapat manfaat daripada permintaan barangan keperluan harian serta keupayaan mereka dalam menetapkan harga yang kukuh.
Sementara MR DIY dan Eco-Shop pula kata RHB Research dilihat, berpotensi meraih keuntungan daripada trend pengguna yang lebih berhati-hati dan cenderung mencari produk bernilai dengan harga rendah.

"Bagi keputusan suku pertama 2026, prestasi sektor itu secara keseluruhan memenuhi jangkaan dengan sembilan daripada 17 syarikat yang di bawah liputan kami berjaya mencapai sasaran," jelasnya.
Pertumbuhan hasil dan keuntungan bersih sektor produk pengguna ujarnya, turut disokong oleh musim perayaan berganda iaitu Tahun Baharu Cina dan Aidilfitri yang merangsang perbelanjaan rakyat.
RHB Research berkata, trend jualan tahunan didapati kekal stabil bagi kebanyakan syarikat terlibat, sekali gus membantu mereka dalan mengekalkan margin keuntungan menerusi kesan leveraj operasi.
Pada masa sama, kebanyakan pemain industri tidak berdepan gangguan besar dalam rantaian bekalan berikutan skala operasi yang besar, sumber bekalan pelbagai serta tahap inventori tetap mencukupi.
"Kami berpandangan sektor ini akan terus menjadi pilihan defensif dalam keadaan pasaran yang tidak menentu kerana menawarkan keterlihatan pendapatan yang lebih baik berbanding sektor lain," katanya.
Selain itu, program Sumbangan Asas Rahmah (SARA), kestabilan nilai ringgit, trend harga komoditi semakin terkawal serta kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 dijangka menjadi pemangkin pertumbuhan.
Bagaimanapun, RHB Research mengingatkan risiko utama masih tertumpu kepada konflik geopolitik yang boleh memberi tekanan kepada perbelanjaan isi rumah dan margin syarikat. - DagangNews.com








