KUALA LUMPUR 9 Jun — Sektor telekomunikasi diramal berkemampuan meningkatkan prestasi yang lebih positif untuk suku kedua 2025 selepas mencatatkan situasi sederhana pada tempoh tiga bulan sebelumnya, menurut Kenanga Research.
Firma penyelidikan tersebut berkata, ia mengekalkan saranan 'neutral' ke atas sektor berkenaan selepas didapati sebahagian besar daripada syarikat-syarikat telekomunikasi di bawah liputannya menunjukkan perkembangan yang diunjurkan.
Tambahnya, kedudukan pendapatan syarikat-syarikat yang terlibat secara berurutan menunjukkan tinjauan bercampur-campur dengan kira-kira 17 peratus daripadanya berjaya melebihi jangkaan, manakala 83 peratus pula memenuhi jangkaan.
"Hasil perkhidmatan bagi beberapa pengendali rangkaian mudah alih domestik menguncup 0.9 peratus sahaja tahun ke tahun (y-o-y), terutamanya diseret oleh pergolakan pelanggan prabayar CelcomDigi Berhad," katanya dalam satu nota kajian.
Perkembangan tersebut disebabkan operator itu secara strategik beralih daripada pengguna modul pengenalan pelanggan prabayar sekali, manakala hasil teras merosot 13 peratus y-o-y, juga sebahagian besar berpunca daripada CelcomDigi.
Keadaan sektor berkenaan kata Kenanga, berikutan ketiadaan langkah pembalikan cukai yang dilihat pada tahun sebelumnya, sementara arah aliran antara suku ke suku bagi segmen mudah alih sebahagian besarnya masih dalam jangkaan.
Situasi itu tambah firma tersebut, disokong oleh momentum perkhidmatan pascabayar yang lebih kukuh, manakala prospek prabayar kekal didapati sebagai tidak menentu tetapi sebenarnya adalah bertambah baik secara berurutan.
“Purata hasil bagi setiap pengguna (ARPU) kekal stabil untuk CelcomDigi, namun Maxis Berhad menyaksikan penurunan disebabkan ada berlaku peralihan dalam peringkat penerimaan hasil untuk program Penjagaan Peranti Maxis,” katanya.
Dalam segmen gentian rumah, Kenanga menyatakan kebimbangan terhadap penurunan berurutan luas dalam penambahan bersih, dengan TIME dotCom Berhad dan Telekom Malaysia Berhad (TM), mengalami kejatuhan ARPU paling teruk.
Kenanga berkata, penyusutan itu didorong oleh promosi agresif diskaun harga tetapi memandangkan ia melihat ada tekanan persaingan yang luas dalam situasi pada 1QFY25, firma tersebut masih mengekalkan pendekatan tunggu dan lihat.
Keyakinan itu disokong oleh semua syarikat telekomunikasi yang mengekalkan panduan pendapatan tahun kewangan 2025 dengan mencadangkan potensi pemulihan pada suku berikut sementara menunggu kemajuan dasar rangkaian dwi 5G Malaysia.
TM dan TIME dotCom katanya, kekal sebagai pilihan utama dalam sektor itu, dengan harga sasaran sesaham RM8.15 untuk TM dan RM5.91 untuk TIME dotCom. - DagangNews.com








