KUALA LUMPUR 10 April – Prestasi Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPI) mencatat pertumbuhan lebih rendah daripada jangkaan pada Februari 2026, akibat dipengaruhi kelemahan sektor perlombongan.
Menurut TA Securities, situasi perlahan itu menyebabkan aktiviti perindustrian secara keseluruhan di seluruh negara hanya berkembang 3.1% tahun ke tahun (YoY) iaitu kadar paling rendah sejak Jun 2025.
Firma penyelidikan itu berkata, angka tersebut juga di bawah jangkaan pasaran sebanyak 5.0% dan menyusut daripada pertumbuhan 5.9% pada Januari 2026, menandakan momentum yang mula sederhana.
"Kelembapan itu didorong penguncupan sektor perlombongan sebanyak 2.0% berbanding pertumbuhan kecil 0.1% pada bulan sebelumnya, susulan pengeluaran minyak mentah yang merosot 4.3%," katanya.
Pada asas bulan ke bulan (MoM) pula tambah TA Securities dalam notanya, IPI pada Februari 2026 merosot kira-kira 9.2% berikutan permintaan lebih lemah serta bilangan hari bekerja yang sedikit.
Sektor pembuatan meliputi 66% daripada IPI masih berkembang 4.2% YoY, namun kadar lebih sederhana selari penyusutan eksport kepada RM130.9 bilion berbanding RM146.8 bilion pada Januari 2026.
Artikel berkaitan: Indeks Pengeluaran Perindustrian hanya 3.1% pada Februari susut hampir dua kali ganda berbanding 5.9% pada Januari 2026 - DOSM

Pada masa sama ujar firma penyelidikan tersebut, segmen penjanaan elektrik meningkat kira-kira 4.6% YoY pada Februari 2026, tetapi turut mencatat penyusutan secara bulanan sebanyak 8.0%.
"Kami menjangka sektor pembuatan kekal stabil bagi suku pertama 2026, disokong Indeks Pengurus Pembelian (PMI), dan menandakan aktiviti industri masih berkembang sederhana," kata TA Securities.
Bagaimanapun, risiko penurunan kekal ketara terutamanya daripada sektor perlombongan yang sudah menguncup 0.9% bagi dua bulan pertama 2026, berbanding pertumbuhan 1.0% pada suku keempat 2025.
Sehubungan itu, firma penyelidikan berkenaan turut memberi amaran mengenai kejutan harga minyak global yang bermula awal Mac 2026 dikhuatiri menekan lagi output industri sekiranya berlarutan.
Justeru TA Securities mengekalkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi 2026 pada kadar 4.3% hingga 4.7%, dengan sektor pembuatan dijangka menjadi penyumbang utama. - DagangNews.com








