Indeks Pengeluaran Perindustrian hanya 3.1% pada Februari, susut hampir dua kali ganda berbanding 5.9% pada Januari 2026 - DOSM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Indeks Pengeluaran Perindustrian hanya 3.1% pada Februari, susut hampir dua kali ganda berbanding 5.9% pada Januari 2026 - DOSM

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 9 April – Pertumbuhan pengeluaran sektor perindustrian Malaysia pada Februari 2026 mencatatkan kadar paling perlahan sejak Jun tahun lalu, susulan penyusutan dalam beberapa sektor utama termasuk pembuatan dan perlombongan.

 

Data yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPI) meningkat 3.1% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, lebih rendah daripada jangkaan pasaran sebanyak 5% serta pertumbuhan 5.9% yang direkodkan pada Januari lalu.

 

Secara bulanan, prestasi IPI turut mencatatkan kemerosotan ketara apabila menguncup 9.2% berbanding peningkatan kecil 0.6% pada bulan sebelumnya, mencerminkan aktiviti Perindustrian yang lebih sederhana dalam tempoh jangka pendek.

 

DOSM berkata sektor pembuatan, yang merupakan penyumbang terbesar kepada IPI, mencatatkan pertumbuhan lebih perlahan iaitu 4.2% berbanding 7.3% pada Januari, menandakan momentum pengeluaran semakin berkurangan.

 

“Dalam sektor sama, pengeluaran produk komputer, elektronik dan optik kekal berkembang kukuh pada kadar 15.7%, namun lebih rendah berbanding 17.2% sebelumnya, manakala peralatan elektrik meningkat 3.5%, juga perlahan berbanding 6.1% sebelum ini.

 

“Pertumbuhan eksport barangan pembuatan turut kehilangan momentum apabila hanya meningkat 7.1% berbanding 11.9% pada Januari, menunjukkan permintaan luar negara yang semakin sederhana.

 

“Sementara itu, sektor perlombongan kembali mencatatkan penguncupan sebanyak 2%, dipengaruhi oleh penurunan 4.3% dalam pengeluaran minyak mentah dan kondensat selepas mencatatkan pertumbuhan pada bulan sebelumnya,” kata DOSM.

 

Pengeluaran gas asli pula menyusut sedikit sebanyak 0.4%, walaupun lebih baik berbanding penguncupan 2.1% pada Januari, namun masih mencerminkan prestasi sektor tenaga yang tidak stabil.

 

Dalam masa sama, sektor elektrik mencatatkan pertumbuhan lebih perlahan iaitu 4.6% berbanding 6.2% sebelumnya, selari dengan penyederhanaan aktiviti ekonomi secara keseluruhan.

 

Di peringkat global, pertumbuhan pengeluaran perindustrian turut menunjukkan trend sederhana di beberapa ekonomi utama, sekali gus memberi kesan kepada permintaan luaran Malaysia dan menyumbang kepada kadar pertumbuhan industri yang lebih perlahan. - DagangNews.com