Sektor pembuatan Malaysia dijangka catat pertumbuhan stabil pada 1H2025 - FMM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sektor pembuatan Malaysia dijangka catat pertumbuhan stabil pada 1H2025 - FMM

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 5 Mac — Persekutuan Pekilang Malaysia (FMM) menjangkakan sektor pembuatan bersedia untuk pertumbuhan berterusan pada separuh pertama 2025 (1H2025) didorong kestabilan dan pertumbuhan kukuh.
 

Presidennya, Tan Sri Soh Thian Lai berkata, keyakinan itu berdasarkan situasi sektor perkilangan tempatan pada 2H2024 menunjukkan momentum begitu stabil, dengan keadaan perniagaan, jualan dan pengeluaran semakin kukuh di tengah-tengah kos yang tinggi.
 

Ujarnya, pelaburan modal yang mampan dan tahap pekerjaan yang stabil menggariskan keyakinan strategik jangka panjang, ketika pengilang mengharungi landskap ekonomi yang berkembang dengan pendekatan seimbang terhadap pertumbuhan dan pengurusan risiko.
 

"Melihat ke depan untuk 1H2025, pengilang dijangka mengutamakan kecekapan berbanding pertumbuhan agresif, menumpukan kestabilan dalam ketidaktentuan ekonomi global, malah peningkatan kos dan risiko luaran mungkin menjejaskan pengembangan perniagaan.
 

"Sektor ini bergerak ke arah pemulihan secara beransur-ansur, tetapi berhati-hati kekal sebagai faktor penentu dalam perancangan strategik walaupun sentimen pelaburan stabil," katanya kepada pemberita pada Tinjauan Keadaan Perniagaan FMM untuk 2H2024, hari ini.
 

Berdasarkan tinjauan itu, Thian Lai berkata, pengilang kekal optimistik dengan berhati-hati mengenai prospek 2025 berbanding 2024, dengan 56 peratus menjangkakan pertumbuhan,  namun 24 peratus mengunjurkan kestabilan, dan hampir 19 peratus meramalkan penurunan.
 

“Sentimen seimbang dengan perniagaan mengutamakan daya tahan berbanding pertumbuhan pesat. Walaupun optimisme mendominasi, ketidaktentuan luar seperti perdagangan global, tekanan inflasi dan kekangan rantaian bekalan, boleh menjejaskan jangkaan," katanya.
 

Mengenai cabaran pasaran, beliau berkata pada 2025, pengilang menghadapi tekanan kos lebih tinggi dan persaingan yang meningkat kepada 55 peratus ekoran kos input naik daripada 49 peratus pada 2024 dan 48 peratus mencatatkan peningkatan persaingan.
 

Pada masa sama, beliau berkata kebimbangan terhadap permintaan yang lemah dan kejatuhan nilai ringgit agak berkurangan, jatuh daripada 51 peratus pada 2024 kepada 45 peratus pada 2025 dan daripada 47 peratus pada 2024 kepada 41 peratus pada 2025, manakala cabaran untuk menarik pelanggan baharu meningkat daripada 39 peratus kepada 4 peratus.
 

“Selain itu, 2025 memperkenalkan isu baharu seperti beban kawal selia, kekurangan buruh dan pematuhan kemampanan, menunjukkan walaupun ada cabaran tradisional agak sederhana, persekitaran operasi keseluruhan kekal kompleks dan perlu tumpuan strategik," katanya.
 

Thian Lai menambah, kesan gabungan peningkatan kos, ketidaktentuan pasaran dan turun naik mata wang menunjukkan bahawa syarikat perlu mengutamakan kecekapan kos, penetapan harga strategik dan pembezaan pasaran untuk mengekalkan pertumbuhan pada 2025.
 

Melangkah ke hadapan, beliau menjangkakan pasaran adalah kekal lemah mengenai prospek industri sepanjang tahun ini di tengah-tengah ketegangan geopolitik dan ketidaktentuan sejagat, yang boleh menjejaskan kedinamikan pertumbuhan secara keseluruhannya.
 

Ujarnya, tekanan lebih intensif terhadap kos input, persaingan pasaran yang meningkat, kerana dasar cukai Amerika Syarikat, permintaan yang lemah, kesukaran menarik pelanggan baharu, dan penyusutan nilai ringgit adalah antara cabaran utama bagi tahun ini. - DagangNews.com