KUALA LUMPUR 24 Feb — Prospek segmen Olefin dan Derivatif (O&D) dijangka terus berdepan tekanan
mendorong CGS International (CGSI) mengulangi saranan ‘Reduce’ terhadap Petronas Chemicals Group Bhd (PCG) dengan harga sasaran (TP) lebih rendah iaitu RM2.83.
Firma penyelidikan itu berkata, penilaian itu masih berasaskan nisbah harga kepada nilai buku (P/BV) akhir tahun kewangan 2026 (TK26F) sebanyak 0.65 kali, iaitu dua sisihan piawai di bawah purata sejak 2019.
CGSI menambah, berdasarkan kenyataan panduan PCG, syarikat menjangkakan tekanan lebihan bekalan susulan penambahan kapasiti baharu di China serta permintaan lemah berterusan akan terus membebani prospek keseluruhan O&D.
Selain itu, pasaran akhir bagi produk khas seperti sektor pembinaan dan automotif turut berdepan cabaran akibat permintaan yang lembap, yang dilihat sebagai antara pemangkin kepada potensi penyusutan penarafan saham syarikat.
Walaupun segmen Baja dan Metanol (F&M) menunjukkan perkembangan lebih stabil — disokong permintaan pertanian kukuh di India dan Australia serta bekalan metanol yang terhad akibat kerja penyelenggaraan berjadual di Asia Tenggara — penganalisis berpandangan ia tidak mencukupi untuk menampung kelemahan berterusan dalam segmen O&D.
"Sehubungan itu, PCG dijangka mencatatkan kerugian penuh tahun bagi tempoh unjuran FY26 hingga FY28," kata firma itu dalam nota penyelidikan semalam.
Dalam laporan kewangan semalam, PCG mencatatkan kerugian tahunan pertama dalam sejarahnya apabila merekodkan kerugian bersih teras sebanyak RM1.7 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (FY25), berbanding keuntungan bersih teras RM600 juta pada FY24.
Prestasi lemah itu didorong terutamanya oleh kerugian tukaran asing berjumlah RM1.1 bilion susulan penyusutan dolar AS berbanding ringgit, berbanding kerugian bersih tukaran asing RM160 juta pada tahun sebelumnya.
Bagi suku keempat FY25 (4Q25), PCG mencatatkan kerugian bersih teras RM901 juta, lebih tiga kali ganda berbanding kerugian RM287 juta pada suku ketiga FY25 (3Q25).
Kerugian tukaran asing melonjak kepada RM418 juta pada 4Q25 apabila dolar AS susut daripada RM4.21 pada 30 September 2025 kepada RM4.06 pada 31 Disember 2025. Sebagai perbandingan, 3Q25 hanya mencatatkan kerugian tukaran asing RM74 juta berikutan pergerakan mata wang yang lebih stabil ketika itu.
Dalam pada itu, CGSI berkata, dari sudut operasi, penyusutan dolar AS berbanding ringgit setakat suku pertama FY26F dilaporkan melebihi kadar penyusutan pada suku keempat FY25, sekali gus memberi isyarat potensi kerugian tukaran asing yang besar dalam tempoh berkenaan.
Walaupun margin benzena (BZ) dan paraxilena (PX) berbanding nafta menunjukkan pemulihan suku ke suku, tekanan daripada faktor luaran dilihat masih membayangi prestasi keseluruhan.
Dalam perkembangan lain, PCG dijadual melaksanakan kerja penyelenggaraan utama (turnaround) ke atas loji etana kedua di Kertih serta loji hiliran berkaitan seperti LDPE dan MEG pada suku kedua FY26F, yang berpotensi meningkatkan kerugian dalam segmen O&D bagi tempoh tersebut.
Bagaimanapun, antara risiko kenaikan kepada penilaian semasa ialah kemungkinan pengurangan kadar operasi loji O&D global yang lebih besar daripada jangkaan, yang berupaya menyokong kenaikan harga jualan dan memperbaiki margin keuntungan.
Sementara itu MBSB Research berkata, prospek industri FY26 dijangka kekal mencabar apabila penambahan kapasiti baharu di China terus memberi tekanan kepada pasaran global, manakala pemulihan permintaan dalam pasaran akhir utama masih tidak sekata.
Sehubungan itu, firma penyelidikan itu mengekalkan saranan NEUTRAL terhadap saham PCG, mengambil kira prospek sektor yang berhati-hati serta keputusan kewangan terkini yang mencerminkan cabaran berterusan dalam industri.
MBSB menambah, sebahagian besar syarikat petrokimia global kini bergelut dengan tekanan lebihan kapasiti serta ketidaktentuan permintaan, sekali gus mewujudkan persekitaran operasi yang kekal mencabar buat PCG.
Dalam mengharungi cabaran tersebut, PCG dilaporkan terus memberi tumpuan kepada kecekapan operasi dengan mengekalkan kadar penggunaan loji yang tinggi bagi mengurangkan impak tekanan luaran.
Syarikat juga terus berinteraksi rapat dengan pelanggan bagi memastikan bekalan produk dan perkhidmatan yang konsisten. - DagangNews.com








