Segmen huluan terus jadi tunjang IOI Corporation bagi 1HFY26, CGSI kekal harga sasaran RM4.65 sesaham | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Segmen huluan terus jadi tunjang IOI Corporation bagi 1HFY26, CGSI kekal harga sasaran RM4.65 sesaham

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 26 Feb – Segmen perladangan huluan terus menjadi tunjang prestasi IOI Corporation Berhad apabila keuntungan separuh pertama tahun kewangan 2026 (1HFY26) menepati jangkaan.


Menurut CGS International (CGSI), prestasi itu disokong margin kukuh minyak sawit mentah (MSM) dan daya tahan operasi, sehingga mencatat keuntungan bersih teras suku kedua FY26 sebanyak RM429 juta.


Firma penyelidikan itu berkata, jumlah tersebut meningkat 18% suku ke suku (QoQ) dan 16% tahun ke tahun (YoY) selepas dilaras keuntungan pertukaran asing RM122 juta serta item sekali sahaja lain.


"Ini menjadikan keuntungan bersih teras 1HFY26 berjumlah RM791 juta, naik 18% YoY, bersamaan 51% daripada unjuran penuh tahun kami dan 57% daripada konsensus Bloomberg," tambahnya dalam nota.


Seiring kemajuan tersebut jelas CGSI, IOI Corporation turut mengisytiharkan dividen interim pertama 5.5 sen sesaham dengan tarikh pembayaran pada 10 Mac 2026, mewakili hasil dividen 1.4%.


Katanya, peningkatan prestasi didorong sumbangan kukuh segmen huluan susulan pengeluaran buah tandan segar (BTS) dan harga purata jualan MSM tinggi, selain operasi hiliran kekal menguntungkan.


Walaupun gangguan cuaca seperti kemarau di Johor dan banjir di Sabah tidak memberi kesan material terhadap pengeluaran FFB, pihak pengurusan menyemak semula sasaran pertumbuhan BTS bagi FY26.


"Ia ditetapkan 5% hingga 8% berbanding 5% hingga 10% sebelum ini, selari dengan unjuran sebanyak 6%, manakala bagi tempoh 2HFY26, kami menjangkakan pendapatan kekal berdaya tahan," jelas CGSI.


Situasi itu tambahnya, disokong margin huluan lebih tinggi berikutan harga MSM stabil dan kos baja lebih rendah, memandangkan kira-kira 60% program pembajaan sudah habis diselesaikan pada 1HFY26.


Ujarnya, meskipun segmen hiliran dijangka sederhana, IOI Corporation diyakini mampu mengekalkan margin lebih besar berbanding rakan setara hasil pengembangan dalam pasaran yang bernilai tinggi.


Antaranya farmaseutikal dan kosmetik menerusi operasi di Jerman serta aktiviti penambahan stok oleokimia menjelang tarikh akhir Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR).


"Kumpulan ini turut menyasar 5,000 hektar ladang kelapa menjelang FY27, berpotensi muncul sebagai penanam terbesar di Malaysia. Setakat Jun 2025, keluasan tanaman mencecah 3,616 hektar," katanya.


Pada November 2025, IOI memeterai usaha sama dengan firma pelaburan Singapura, Mega Star Holdings bagi membangunkan kompleks pemprosesan kelapa mampan yang dijangka beroperasi pada 1HFY28.


CGSI menganggarkan projek fasiliti tersebut mampu menyumbang keuntungan sebelum cukai sekitar RM70 juta hingga RM80 juta setahun, bersamaan kira-kira 3% daripada unjuran untung kasar pada FY28.


Sehubungan itu, firma penyelidikan tersebut mengekalkan saranan ‘tambah’ terhadap IOI dengan harga sasaran berasaskan kaedah jumlah bahagian (SOP) yang tidak berubah kepada RM4.65 sesaham.


"Bagaimanapun ada risiko penurunan seperti pengeluaran BTS lebih rendah daripada jangkaan serta perubahan dasar minyak sawit Indonesia yang tidak memihak," katanya. - DagangNews.com