KUALA LUMPUR 8 Jun - Searah, usaha sama 50:50 antara Petroliam Nasional Bhd. (PETRONAS) dan syarikat tenaga global, Eni, menyasarkan pengeluaran mampan melebihi 500,000 tong setara minyak sehari (boe/d) dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Direka untuk beroperasi sebagai entiti bebas, Searah yang ditubuhkan hasil gabungan aset-aset terpilih di Malaysia dan Indonesia itu memulakan operasi dengan asas pengeluaran awal kira-kira 300,000 boe/d.
Searah memiliki portfolio yang merangkumi 19 aset pengeluaran dan pembangunan gas, terdiri daripada 14 aset di Indonesia dan lima aset di Malaysia, menjadikannya antara platform tenaga bersepadu terbesar di Asia Tenggara.
Dalam satu kenyataan bersama, PETRONAS dan Eni berkata, penubuhan syarikat itu bertujuan memperkukuh nilai portfolio kedua-dua syarikat, meningkatkan kecekapan operasi serta menyokong keselamatan tenaga jangka panjang di Malaysia dan Indonesia.
Bagi menyokong agenda pertumbuhan tersebut, Searah disediakan kemudahan kredit pusingan bernilai AS$6 bilion selain saluran pelaburan yang dijangka mencecah AS$20 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang, tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa berkaitan.
Pelaburan berskala besar itu akan digunakan bagi membangunkan lebih daripada 3 bilion tong setara minyak sumber yang telah ditemui, selain membuka peluang penerokaan baharu yang berpotensi meningkatkan rizab tenaga syarikat pada masa hadapan.
Menurut kenyataan itu, gabungan aset dan kepakaran kedua-dua syarikat dijangka menghasilkan sinergi yang mampu mempercepatkan penciptaan nilai, meningkatkan daya tahan kewangan serta memperkukuh kapasiti pertumbuhan syarikat.
Selain aspek komersial, Searah turut dibangunkan berasaskan komitmen terhadap kemampanan dengan memberi tumpuan kepada operasi yang bertanggungjawab, perlindungan alam sekitar serta pembangunan ekonomi setempat di Malaysia dan Indonesia.
Searah Bawa Kedalaman operasi, Daya Tahan Kewangan
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik, berkata penubuhan Searah selaras dengan fokus PETRONAS yang dipertingkatkan untuk mengamalkan disiplin lebih tinggi dalam pembangunan sumber, di samping penyaluran modal yang lebih tangkas serta penekanan yang lebih kukuh terhadap penciptaan nilai mampan di sepanjang rantaian nilai gas.
“Dengan memanfaatkan portfolio dan keupayaan saling melengkapi antara PETRONAS dan Eni, Searah dijangka membawa kedalaman operasi, daya tahan kewangan dan kapasiti pertumbuhan kedua-dua rakan kongsi dalam memenuhi keperluan tenaga rantau ini secara boleh dipercayai dan bertanggungjawab, sambil menyumbang kepada keselamatan bekalan jangka panjang di Indonesia dan Malaysia,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Eni, Claudio Descalzi, pula berkata Searah mencerminkan strategi satelit kumpulan yang terbukti berjaya dalam membangunkan perniagaan yang fokus dan berkualiti tinggi, yang mampu menggabungkan skala, kecekapan dan pertumbuhan, didorong oleh kecemerlangan kami dalam aktiviti penerokaan dan pelaksanaan projek, serta tumpuan berterusan terhadap teknologi dan inovasi.
“Searah merupakan entiti baharu yang kukuh di Asia Tenggara — yang pertama dan terbesar seumpamanya di rantau ini — menggabungkan kepakaran kami dengan PETRONAS untuk menyokong pembangunan sumber tenaga di Indonesia dan Malaysia, dengan komitmen tinggi terhadap perlindungan alam sekitar dan pembangunan komuniti setempat.”
Penubuhan usaha sama itu merupakan kesinambungan kepada Memorandum Persefahaman (MoU) yang diumumkan pada Februari 2025 serta Perjanjian Pelaburan yang ditandatangani pada 3 November 2025, selepas memperoleh semua kelulusan yang diperlukan daripada pihak berkuasa kawal selia, kerajaan dan rakan kongsi berkaitan.
PETRONAS dan Eni turut berkongsi aspirasi kemampanan yang sejajar bagi Searah, yang berteraskan operasi yang bertanggungjawab, pemeliharaan alam sekitar serta penciptaan nilai dan peluang jangka panjang di Malaysia dan Indonesia.
PETRONAS menegaskan komitmennya yang berterusan terhadap keselamatan tenaga negara, di samping memperkukuh kehadiran antarabangsa dan jaringan kerjasama strategik yang menyokong pembangunan tenaga mampan untuk jangka panjang. - DagangNews.com








