Sarawak sasar loji hidroelektrik utama memenuhi piawaian antarabangsa menjelang 2030 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sarawak sasar loji hidroelektrik utama memenuhi piawaian antarabangsa menjelang 2030

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 5 Nov – Sarawak  menyasarkan semua loji janakuasa hidro utama negeri itu memenuhi piawaian Hydropower Sustainability Standard (HSS) antarabangsa menjelang 2030 bagi memastikan pematuhan kepada amalan terbaik global, kata Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

 

Beliau berkata, sasaran itu ditetapkan selepas Loji Hidroelektrik Bakun (HEP) dianugerahkan sijil perak HSS tahun ini, menjadikannya loji hidro terbesar di Asia Tenggara yang menerima pengiktirafan tersebut. 

 

“Pencapaian ini membuktikan komitmen Sarawak terhadap kriteria alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) sepanjang kitar hayat projek, termasuk penglibatan komuniti, pemeliharaan biodiversiti, ketahanan iklim dan tadbir urus yang cekap,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Pengurusan Keselamatan Empangan dan Kejuruteraan Antarabangsa ke-3 tahun 2025 di Kuching hari ini.

 

Teks ucapannya dibacakan oleh Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (Sarawak Energy Berhad dan Petros), Datuk Ibrahim Baki.

 

Sijil perak HSS diberikan kepada Sarawak Energy Bhd pada 3 September selepas penilaian bebas oleh Hydropower Sustainability Alliance, yang menilai keseluruhan aspek kelestarian projek. 

 

t

 

Selain itu, HEP Bakun turut memenangi Blue Planet Prize 2025 oleh International Hydropower Association sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan dalam pembangunan dan operasi hidroelektrik lestari.

 

Abang Johari berkata, kejayaan itu membuktikan bahawa hidroelektrik berskala besar yang dirancang, dibangunkan dan dioperasikan secara bertanggungjawab dapat menyediakan tenaga yang boleh dipercayai, berpatutan dan mesra alam seterusnya memberikan manfaat sosial dan ekonomi kepada komuniti setempat.

 

Beliau berkata, Sarawak sedang memacu peralihan tenaga hijau yang dinamik, bergerak melepasi hidroelektrik tradisional kepada platform tenaga hijau bersepadu. 

 

“Contohnya, HEP Batang Ai kini mempunyai ladang solar terapung 50MW di empangannya, yang membolehkan negeri mempelbagaikan sumber tenaga tanpa memerlukan tanah baru.

 

“Pendekatan ini juga meningkatkan penggunaan tanah secara optimum dan membantu mengurangkan penyejatan air empangan, selaras dengan pengurusan air yang lebih cekap.

 

“Tenaga boleh diperbaharui ini bukan sahaja untuk Sarawak tetapi juga menyumbang kepada keselamatan tenaga serantau melalui Asean Power Grid,” katanya.

 

Abang Johari berkata, komitmen Sarawak untuk memastikan loji hidroelektrik lain memenuhi piawaian HSS sejajar dengan aspirasi negeri untuk menjadi kuasa tenaga boleh diperbaharui utama di ASEAN.

 

“Pada masa sama dapat memastikan perlindungan alam sekitar, kesejahteraan komuniti dan kesejahteraan generasi masa depan.

 

“Pencapaian ini mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai rakan tenaga bersih yang dipercayai dan membolehkan negeri terus memainkan peranan penting dalam pembangunan tenaga lestari serantau,” katanya. - DagangNews.com