Samenta gariskan empat agenda utama perkukuh PMKS serantau sempena Sidang Kemuncak ASEAN | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Samenta gariskan empat agenda utama perkukuh PMKS serantau sempena Sidang Kemuncak ASEAN

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 23 Okt – Malaysia, sebagai tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 mempunyai peluang  untuk memperkukuh perpaduan rantau ini bukan sahaja di peringkat kerajaan, tetapi juga dalam kalangan jutaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang menjadi tulang belakang ekonomi serantau.

 

Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta), Datuk William Ng berkata, selama ini perbincangan ekonomi ASEAN lebih banyak tertumpu kepada usaha menghapuskan halangan perdagangan, namun cabaran sebenar ialah kurangnya kepercayaan, hubungan dan kerjasama dalam kalangan PMKS.

 

Katanya, terdapat kira-kira 70 juta PMKS di seluruh ASEAN yang sebenarnya sudah berdagang dan bekerjasama merentasi sempadan, namun kebanyakannya secara tidak langsung dan berperanan sebagai pembekal kepada rantaian nilai global, bukan serantau.

 

“Jika ASEAN benar-benar serius mahu meningkatkan perdagangan intra-ASEAN, kita mesti melangkaui naratif menghapuskan halangan dan mula membina jambatan secara aktif antara PMKS,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Justeru, Samenta menyeru pemimpin ASEAN untuk memberi keutamaan kepada empat agenda utama semasa Sidang Kemuncak berlangsung tidak lama lagi.

 

“Agenda pertama ialah memperkukuh perdagangan intra-ASEAN melalui kolaborasi, bukan persaingan. 

 

“Perdagangan intra-ASEAN telah kekal sekitar 20% selama lebih sedekad dan isu sebenar bukan sekadar tarif (cukai import/eksport) atau halangan bukan tarif (peraturan atau prosedur), tetapi kerana rantaian bekalan dibina untuk pasaran luar ASEAN.

 

“Malaysia sebagai pengerusi tahun ini berupaya memimpin usaha menilai semula keutamaan ekonomi ASEAN dengan membina industri serantau dan kemakmuran bersama,” katanya.

 

t
Presiden Samenta, Datuk William Ng

 

Agenda kedua ialah mempercepat pendigitalan dan integrasi rantaian bekalan serantau. 

 

Beliau berkata, inisiatif ekonomi digital ASEAN seperti sistem pembayaran rentas sempadan dan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) perlu direka bentuk untuk inklusiviti, bukan sekadar skala.

 

“Ekosistem digital serantau yang merangkumi platform e-dagang, piawaian keselamatan siber bersama serta aliran data yang dipermudah akan membolehkan PMKS berinovasi, berkolaborasi dan bersaing dengan lebih berkesan.

 

“Selain itu, industri kreatif yang diterajui oleh usahawan kecil dan wanita juga perlu diiktiraf sebagai sebahagian daripada rantaian nilai serantau dengan sokongan perlindungan harta intelek, mobiliti bakat dan kluster kreatif rentas sempadan,” katanya.

 

t

 

Agenda ketiga ialah beralih daripada penunjuk prestasi utama (KPI) nasional kepada prestasi serantau. 

 

Beliau berkata, ASEAN perlu menilai kemajuan berdasarkan sejauh mana ekonomi anggotanya saling melengkapi, bukan bersaing merebut pelaburan dan pasaran yang sama.

 

“Pendekatan rantaian bekalan serantau dapat menggalakkan setiap negara anggota mengkhusus dalam bidang kelebihan masing-masing bagi membentuk daya saing kolektif.

 

“Agenda keempat ialah memperkasa PMKS sebagai inovator dan pencipta nilai. ASEAN perlu membantu PMKS bergerak melepasi peranan sebagai pembekal atau pengeluar OEM kepada menjadi pemilik jenama dan pencipta nilai di rantau ini dan di peringkat global.

 

“Dengan cara ini, kita dapat mencapai daya saing dan ketahanan jangka panjang ketika berdepan dengan ekonomi besar yang semakin berkembang di sekeliling kita,” katanya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Kaukus SME ASEAN dibentuk, inisiatif perkukuh kerjasama PKS serantau

 

Selaras dengan seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meningkatkan perdagangan kerjasama intra-ASEAN, William berkata, minggu lalu Samenta sudah berkolaborasi dengan persatuan PKS dari semua 10 negara anggota ASEAN untuk menubuhkan Kaukus PKS ASEAN dalam konteks “oleh PKS, untuk PKS”.

 

“Misi kaukus tersebut ialah memperkukuh hubungan antara PKS, membolehkan lebih banyak perdagangan dan kolaborasi serantau serta memanfaatkan kekuatan masing-masing bagi membina rantaian bekalan ASEAN yang menyeluruh dalam sektor utama seperti makanan, perabot, elektronik dan perkhidmatan digital.

 

“Kaukus ini mewakili model kerjasama baharu di mana PKS memimpin usaha integrasi serantau, bukan sekadar menunggu inisiatif yang digerakkan kerajaan.

 

“Kami yakin ASEAN akan terus membina jambatan di samping menghapuskan halangan. Jika kita dapat berdagang dan belajar sesama kita dengan lebih berkesan, ASEAN bukan sahaja akan menjadi pasaran 700 juta penduduk, tetapi juga komuniti kemakmuran bersama yang digerakkan oleh PKS, untuk PKS,” katanya.

 

Samenta yang ditubuhkan pada 1986 merupakan persatuan PMKS tertua dan terbesar di Malaysia dan komited memperjuangkan persekitaran perniagaan yang mesra PMKS serta menghubungkan perusahaan Malaysia dengan peluang perniagaan di peringkat serantau dan global. - DagangNews.com