Kaukus SME ASEAN dibentuk, inisiatif perkukuh kerjasama PKS serantau | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kaukus SME ASEAN dibentuk, inisiatif perkukuh kerjasama PKS serantau

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 17 Okt – Forum SME ASEAN 2025 mencatat satu detik bersejarah bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di rantau ini dengan pembentukan rasmi Kaukus SME ASEAN, satu langkah penting ke arah kerjasama serantau yang lebih mendalam dan pertumbuhan kolektif.

 

Forum itu dianjurkan bersama oleh SME Corp. Malaysia dan Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) dengan sokongan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

 

Ia diadakan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur sempena SME Venture@ASEAN 2025.

 

Pembentukan Kaukus SME ASEAN menghimpunkan pemimpin persatuan dan dewan perniagaan PKS dari kesemua 10 negara anggota ASEAN. 

 

Inisiatif ini bertujuan memperkukuh kerjasama, memperdengarkan suara kolektif 70 juta PKS ASEAN serta memacu pertumbuhan inklusif di seluruh rantau. 

 

Majlis pembentukannya disaksikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan; Ketua Setiausaha KUSKOP, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud;  Pengerusi Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC), Tan Sri Nazir Razak, bersama wakil dari 10 negara ASEAN.

 

Kaukus SME ASEAN akan berfungsi sebagai jambatan antara pembuat dasar dan sektor swasta, menggalakkan perdagangan rentas sempadan, inovasi dan kemakmuran bersama dalam Komuniti Ekonomi ASEAN. 

 

Antara peranan utamanya ialah mewakili kepentingan PKS di peringkat nasional, serantau dan antarabangsa, memudah cara kerjasama rentas sempadan, menyokong dialog dasar.

 

t

 

Selain itu, ia juga menyumbang kepada rumusan dasar berkaitan PKS, meningkatkan daya saing dan inovasi serta menyediakan pandangan bersepadu kepada mesyuarat peringkat Menteri dan Kumpulan Kerja ASEAN.

 

Ahli pengasas Kaukus SME ASEAN termasuk Brunei Darussalam (NCCBID), Kemboja (YEAC), Indonesia (Apindo), Lao PDR (Lao SME Association), Malaysia (Samenta), Myanmar (MBE), Filipina (PCCI), Singapura (ASME Singapore), Thailand (Joint Foreign Chambers of Commerce of Thailand) dan Vietnam (Vietnam Economic Forum - ViEF).

 

Presiden Samenta, Datuk William Ng, berkata meskipun negara-negara ASEAN berjiran rapat, perdagangan intra-ASEAN masih sekitar 21%, jauh lebih rendah berbanding perdagangan intra-Kesatuan Eropah iaitu 66%. 

 

“Antara misi utama Kaukus SME ASEAN ialah untuk meningkatkan perdagangan dalam ASEAN dan memudahkan akses pasaran bagi PKS,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Terdahulu, dalam ucapan perasmian, Ramanan Ramakrishnan memuji inisiatif ini sebagai langkah penting membina ekosistem PKS ASEAN yang lebih bersatu. 

 

Beliau berkata, kaukus ini bukan sekadar medan pertemuan tetapi pemangkin kepada dialog dasar, pertukaran pengetahuan dan tindakan bersepadu, memperkasakan PKS ASEAN dalam menghadapi digitalisasi, kelestarian, dan dinamik perdagangan global.

 

Pembentukan Kaukus SME ASEAN menandakan era baharu kerjasama serantau yang akan memperkasakan PKS untuk memainkan peranan lebih besar dalam memacu inovasi, kelestarian dan pertumbuhan ekonomi inklusif di seluruh ASEAN. - DagangNews.com