KUALA LUMPUR 19 Jan - CGS International menyifatkan prestasi semasa saham Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebagai peluang strategik untuk pelabur membina semula pegangan menjelang titik perubahan yang dijangka berlaku dalam tempoh terdekat.
Firma penyelidikan itu berkata, beberapa isu yang membelenggu kumpulan itu kini hampir menemui penyelesaian, sekali gus dijangka meningkatkan keterlihatan pendapatan dan aliran tunai bermula tahun kewangan 2026 (2026F).
Sehubungan itu CGSI mengekalkan Tambah ke atas saham TNB dengan harga sasaran berasaskan kaedah jumlah bahagian (SOP) yang tidak berubah pada RM16.60.
Kejelasan cukai dan Capex dijangka hujung Februari
Menurut CGSI, pada Hari Korporat Malaysia yang diadakan pada 7 Jan 2026, pengurusan TNB menegaskan isu cukai legasi syarikat berjumlah RM10.6 bilion telah diselesaikan sepenuhnya pada tahun lalu.
Jumlah pelarasan balik (clawback) yang telah diluluskan — walaupun belum diumumkan kepada umum — kini dimuktamadkan sebagai kredit cukai.
Pengurusan memberitahu mekanisme untuk mengimbangi kredit cukai tersebut dengan cukai masa hadapan kini berada di peringkat akhir perbincangan bersama Kementerian Kewangan, dengan kejelasan kepada pelabur dijangka diberikan menjelang akhir Februari 2026.
"Berdasarkan perkembangan ini, kami mengunjurkan kadar cukai efektif TNB akan menurun kepada sekitar 25% mulai 2026F, berbanding panduan terdahulu pada paras 29% hingga 30%," kata CGSI dalam nota penyelidikan hari ini.
Dari segi perbelanjaan modal, CGSI berkata, TNB menegaskan semula panduan penggunaan 70% daripada capex luar jangka berjumlah RM16.3 bilion di bawah Tempoh Kawal Selia 4 (RP4) bagi tempoh 2025F hingga 2027F.
Katanya, ini membayangkan peningkatan ketara perbelanjaan capex terkawal sepanjang 2026F hingga 2027F.
"Perbincangan dengan pihak pengawal selia berhubung mekanisme imbuhan capex tersebut juga dilaporkan berjalan lancar, dengan perincian akhir mengenai pengiktirafan untung rugi dan aliran tunai disasarkan menjelang akhir Februari 2026.
"Walaupun capex lebih tinggi di bawah RP4 akan meningkatkan Asas Aset Terkawal (RAB), pengurusan menjelaskan bahawa pengiktirafan pendapatan akan bersifat tertangguh selaras dengan rangka kerja tarif berperingkat," kata CGSI.
Dividen mampan, kunci kira-kira kekal kukuh
Menurut CGSI, TNB turut menegaskan komitmennya untuk mengekalkan pembayaran dividen, termasuk pada paras tertinggi dalam julat dasar pembayaran 30% hingga 60%.
Katanya, keupayaan ini disokong oleh aliran tunai operasi yang berdaya tahan serta keterlihatan pendapatan yang tinggi daripada aset terkawal dan aset yang dilindungi perjanjian pembelian tenaga (PPA).
"Pengurusan menekankan bahawa dividen sesaham (DPS) mutlak kekal sebagai pertimbangan utama, bukan sekadar nisbah pembayaran, sekali gus mengurangkan kebimbangan terhadap tekanan dividen meskipun syarikat berdepan kitaran capex yang tinggi dan pembayaran cukai terdahulu secara pendahuluan pada tahun lalu," tambah firma itu.
CGSI berkata, setakat akhir suku ketiga 2025 (3Q25), nisbah gear TNB berada pada sekitar 52%, masih dalam julat optimum kumpulan, dengan ruang untuk meningkat sehingga 60% sekiranya perlu, disokong oleh keyakinan berterusan pihak pemberi pinjaman dalam pembiayaan pelaburan penghantaran, pengagihan dan penjanaan.
Prestasi saham buka peluang masuk semula
Menurut CGSI, walaupun saham TNB telah meningkat sekitar 11% daripada paras terendah Disember 2025, harga saham masih kira-kira 7% lebih rendah berbanding paras awal Julai 2025 dan telah mencatat prestasi lebih lemah berbanding indeks KLCI sebanyak 16% dalam tempoh yang sama.
"Keadaan ini dilihat menawarkan titik kemasukan semula yang menarik kepada pelabur.
"Kami juga melihat TNB sebagai pemudah cara utama dan penerima manfaat terbesar kepada pengembangan sektor tenaga negara, disokong oleh peningkatan permintaan elektrik serta permulaan kitaran pelaburan baharu berbilang tahun," katanya.
Menurut CGSI, pemangkin penilaian semula dalam tempoh enam bulan akan datang termasuk kejelasan mekanisme pelarasan balik cukai, pemuktamadan imbuhan capex luar jangka, serta kejayaan dalam bidaan tender kapasiti baharu.
Namun begitu, risiko penurunan masih wujud, antaranya kos operasi yang lebih tinggi daripada jangkaan, turun naik harga bahan api dan perubahan dasar kawal selia yang tidak memihak. - DagangNews.com








