Saham Pentech dijangka naik lebih dua kali ganda selepas penyenaraian, disokong kerjasama syarikat teknologi antarabangsa – Penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Saham Pentech dijangka naik lebih dua kali ganda selepas penyenaraian, disokong kerjasama syarikat teknologi antarabangsa – Penganalisis

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 28 Mei – Pentech Holdings Bhd menerima penilaian positif daripada firma penyelidikan apabila nilai saksama syarikat itu dianggarkan hampir dua kali ganda berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 20 sen sesaham.

 

Rakuten Trade Research menetapkan sasaran harga pada 42 sen sesaham, jauh lebih tinggi berbanding harga penyenaraian yang ditawarkan kepada pelabur.

 

Firma itu berkata, penilaian tersebut dibuat berdasarkan gandaan 16 kali pendapatan sesaham teras bagi tahun kewangan 2027, iaitu selaras dengan purata penilaian syarikat setara dalam industri yang sama.

 

“Penilaian ini disokong oleh tiga faktor utama, iaitu rancangan pengembangan perniagaan yang agresif, jaringan kerjasama strategik bersama syarikat teknologi antarabangsa, serta kedudukan kewangan yang kukuh.

 

“Selain itu, unjuran keuntungan menunjukkan Pentech dijangka mencatat keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti sebanyak RM13 juta pada tahun kewangan 2026.

 

“Bagi tahun kewangan 2027 pula, keuntungan syarikat dijangka meningkat kepada RM16.1 juta yang mencerminkan pertumbuhan yang stabil dalam tempoh jangka sederhana,” kata Rakuten dalam nota kajiannya.

 

Berdasarkan prestasi tersebut, Rakuten Trade Research turut memberikan saranan Beli terhadap saham syarikat berkenaan dengan jangkaan potensi kenaikan selepas penyenaraian.

 

ARTIKEL BERKAITAN: IPO di Pasaran ACE: Pentech sasar kumpul RM34.4 juta, harga 20 sen sesaham

 

IPO Pentech pada harga 20 sen sesaham itu melibatkan permodalan pasaran sekitar RM124 juta apabila disenaraikan kelak, dengan jumlah saham diperbesarkan kepada 620 juta unit.

 

Hasil kutipan sebanyak RM34.4 juta pula akan digunakan untuk membina Pusat Operasi Keselamatan di Kuala Lumpur, menaik taraf pusat arahan operasi sedia ada, serta memperluaskan perkhidmatan teknologi maklumat dan komunikasi termasuk pengkomputeran awan serta penyelesaian berasaskan kecerdasan buatan.

 

Syarikat itu beroperasi di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur dengan tenaga kerja sekitar 129 orang, kebanyakannya terdiri daripada jurutera dan pakar teknologi maklumat.

 

Pentech turut menjalin kerjasama dengan pelbagai syarikat teknologi global termasuk Dell Technologies, Microsoft, Hewlett Packard Enterprise, Lenovo, VMware, Fortinet, Sophos, Oracle dan Pure Storage yang mengukuhkan lagi kedudukannya dalam sektor teknologi.

 

Setakat 27 April 2026, kumpulan itu memiliki buku tempahan kerja belum dilaksanakan sebanyak RM87.7 juta yang memberi sokongan kepada aliran pendapatan jangka pendek.

 

Dalam pada itu, TA Securities memberikan penilaian lebih konservatif dengan nilai saksama 25 sen sesaham berdasarkan gandaan 12 kali pendapatan bagi unjuran tahun 2027.

 

Firma itu berkata pengalaman hampir dua dekad Pentech dalam industri teknologi maklumat serta keupayaan syarikat menyediakan perkhidmatan menyeluruh sebagai faktor sokongan utama.

 

Bagaimanapun, kedua-dua firma penyelidikan itu memaklumkan Pentech tidak mempunyai dasar pembayaran dividen yang tetap, menjadikan pulangan pelabur lebih bergantung kepada pertumbuhan harga saham. - DagangNews.com