IPO di Pasaran ACE: Pentech sasar kumpul RM34.4 juta, harga 20 sen sesaham | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

IPO di Pasaran ACE: Pentech sasar kumpul RM34.4 juta, harga 20 sen sesaham

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 20 Mei – Syarikat kejuruteraan infrastruktur komputer dan pusat data, Pentech Holdings Bhd telah melancarkan tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE dengan sasaran mengumpul RM34.4 juta bagi membiayai naik taraf teknologi serta rancangan pengembangan syarikat.

 

IPO tersebut melibatkan terbitan awam sebanyak 171.995 juta saham baharu, mewakili 27.74 peratus daripada modal terbitan diperbesarkan kumpulan selepas penyenaraian.

 

Harga IPO ditetapkan pada 20 sen sesaham berdasarkan prospektus yang dikeluarkan.

 

Secara keseluruhan, Pentech akan mempunyai 620 juta saham dalam modal terbitan diperbesarkan selepas penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

 

Daripada jumlah saham baharu tersebut, 31 juta saham diperuntukkan kepada orang awam Malaysia, manakala 31 juta saham lagi diperuntukkan kepada pengarah, pekerja serta individu yang layak menyumbang kepada kumpulan.

 

Selain itu, sebanyak 32.495 juta saham akan ditawarkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih, manakala 77.5 juta saham diperuntukkan kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

 

Permohonan bagi IPO itu dibuka pada 20 Mei 2026 dan akan ditutup pada 29 Mei 2026, sebelum penyenaraian dijadualkan pada 15 Jun 2026.

 

Syarikat itu turut membekalkan perkakasan dan perisian serta menawarkan perkhidmatan awan dan penyelesaian teknologi lain.

 

Selepas penyenaraian, Pentech dijangka mencapai modal pasaran sekitar RM124 juta dengan penilaian kira-kira sedikit bawah 12 kali pendapatan tahun terkini.

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Yeoh Chin Ming berkata IPO ini akan menyokong fasa pertumbuhan seterusnya syarikat melalui pengukuhan keupayaan teknologi dan kapasiti operasi.

 

Beliau turut menyatakan bahawa dana yang diperoleh akan membantu Pentech memperluas kehadiran pasaran serta meningkatkan keupayaan perkhidmatan.

 

Sebanyak kira-kira 70 peratus daripada hasil IPO akan digunakan untuk tujuan pengembangan perniagaan.

 

Antara perancangan utama termasuk RM9.4 juta untuk menubuhkan pusat operasi keselamatan (SOC) baharu.

 

Sebanyak RM8.1 juta lagi akan digunakan bagi menaik taraf infrastruktur pusat arahan operasi, manakala RM6.74 juta diperuntukkan untuk memperluaskan penawaran perkhidmatan syarikat.

 

Baki dana akan digunakan untuk pemasaran dan promosi sebanyak RM3.5 juta, modal kerja RM2.16 juta serta RM4.5 juta bagi menampung perbelanjaan penyenaraian.

 

Yeoh Chin Ming yang menyertai Pentech sebagai eksekutif jualan pada 2010 kemudian dilantik sebagai CEO lebih sedekad selepas itu, kini memegang 52 peratus pegangan dalam syarikat berkenaan.

 

Menurut Public Investment Bank, Pentech berada pada kedudukan baik untuk memanfaatkan pertumbuhan ekonomi digital Malaysia yang disokong oleh permintaan tinggi terhadap keselamatan siber, penggunaan awan dan infrastruktur digital yang lebih kukuh.- DagangNews.com