TAWAU 15 Ogos - Sabah Softwoods Berhad melabur hampir RM5.4 juta bagi membina Pusat Pembelajaran Komuniti (CLC) untuk pendidikan anak-anak pekerja Indonesia di ladang-ladang milik syarikat itu.
Menjelang 2026, Sabah Softwood membina sembilan CLC dengan enam sudah dibina di ladang-ladangnya di Kalum, Kapilit, Kumansi, Mawang, Bukit Tukok dan Banita dengan kos RM3.6 juta.
"CLC itu menampung 621 pelajar sekolah rendah yang mengikuti sukatan pelajaran kebangsaan Indonesia," kata Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Softwood, Datuk Mohd. Daud Tampokong.
Beliau berkata, Sabah Softwood menggunakan perbelanjaan sendiri bagi membina fasiliti pendidikan untuk memastikan anak-anak pekerja Indonesia mendapat pendidikan asas yang setara.
“Langkah ini bukan sahaja menyumbang kepada kesejahteraan sosial, tetapi juga mengurangkan kadar penghijrahan pekerja asing ke syarikat perladangan lain, sekali gus mengurangkan kerugian jangka panjang kepada syarikat.
"Sabah Softwodd berhasrat menjadi peneraju dalam meningkatkan fasiliti pendidikan untuk pekerja asing supaya keluarga mereka tidak khuatir dengan masa depan anak-anak,” katanya.

Pengelola CLC SSB, Agil Ridho Bima Anggara, berkata terdapat tiga guru bina dan 17 guru pamong yang mengajar di enam CLC. Daripada jumlah itu, 16 orang adalah guru Malaysia yang telah diberikan latihan khas mengikut sukatan pendidikan Indonesia.
“Kami menyediakan sukatan dan guru terlatih dengan bantuan Konsulat Republik Indonesia di Tawau bagi murid bawah 12 tahun supaya mereka boleh melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah di Indonesia atau Sekolah Indonesia Kota Kinabalu tanpa keciciran,” katanya.
Dalam inisiatif lain, Prof. Dr. Arifin Abdu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Putra Malaysia (UPM), membawa 20 pelajar universiti itu melaksanakan khidmat komuniti Jiwa Putra dengan mengecat mural bertema Madani dan perpaduan Malaysia-Indonesia di CLC Kalum.
“Program Santuni Komuniti Madani Sabah @ Sabah Softwoods ini dikenali sebagai Jiwa Putra. Ia memberi peluang kepada pelajar UPM mengaplikasikan motto universiti, ‘Berilmu Berbakti’, kepada komuniti.
"Pelajar dan staf sanggup mengorbankan cuti semester merentasi Laut China Selatan untuk memberi motivasi dan inspirasi kepada murid-murid di Sekolah Kebangsaan Brumas, Tawau,” katanya. - DagangNews.com








