Sabah meterai perjanjian dengan Petronas untuk miliki 20% kepentingan medan minyak North Sabah EOR PSC | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sabah meterai perjanjian dengan Petronas untuk miliki 20% kepentingan medan minyak North Sabah EOR PSC

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 9 Feb – Sabah terus memperkukuhkan kedudukannya sebagai pemain utama dalam industri minyak dan gas selepas SMJ Energy Sdn Bhd (SMJE) memperoleh 20% kepentingan dalam North Sabah Enhanced Oil Recovery Production Sharing Contract (EOR PSC) tahun ini. 

 

Ia dimeterai dalam satu perjanjian khas antara SMJ Energy dengan Petronas Carigali Sdn Bhd (PCSB) di Kuala Lumpur Convention Centre hari ini.

 

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata penglibatan ini adalah sebahagian daripada strategi jangka panjang kerajaan negeri untuk memperkukuh sektor tenaga. 

 

“Kerjasama rapat dengan PETRONAS dapat menarik pelabur berkualiti dan membawa manfaat berterusan kepada rakyat Sabah.

 

“Peluang kini semakin meluas di seluruh negeri, dari pantai barat hingga pantai timur dan kerajaan Sabah sentiasa membuka pintu kepada pelabur yang berpotensi untuk menyertai pembangunan tenaga negeri,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis perjanjian tersebut.

 

North Sabah EOR PSC terdiri daripada empat medan minyak yang terletak di perairan cetek kira-kira 70 meter dari pesisir Kota Belud. Aset ini mempunyai 20 platform minyak yang disambungkan oleh paip sepanjang 143 km, menyalurkan minyak mentah ke Labuan Crude Oil Terminal (LCOT).

 

Dengan penglibatan 20%, SMJE kini menjadi rakan kongsi bukan operator, manakala SEA Hibiscus Sdn Bhd terus menjadi operator dengan 50% kepentingan dan PCSB mengekalkan 30% kepentingan. 

 

Struktur ini membolehkan pengagihan tugas dan pengurusan aset berjalan lancar. Langkah ini dijangka meningkatkan jumlah kargo minyak Sabah daripada 4.7 pada 2025 kepada 7 kargo pada 2026. 

 

Peningkatan ini bukan sahaja menambah pendapatan negeri, malah membantu memastikan bekalan minyak lebih stabil untuk pasaran.

 

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri II yang juga Pengerusi SMJ Energy, Datuk Seri Masidi Manjun berkata North Sabah adalah aset strategik yang penting bagi pembangunan huluan Sabah. 

 

“Penglibatan SMJ Energy menandakan peranan negeri dalam aktiviti huluan semakin matang. Langkah ini juga akan membina keupayaan komersial Sabah, memberi nilai jangka panjang, dan memastikan lebih banyak manfaat ekonomi dapat terus dirasai oleh rakyat negeri,” katanya.

 

SMJ Energy sebelum ini sudah memulakan penglibatan huluan dengan pengambilalihan di Samarang PSC pada April 2023. Penglibatan terbaru dalam North Sabah EOR PSC memperkukuh kedudukan syarikat sebagai pemain penting dalam landskap minyak dan gas negeri.

 

Selain itu, pertukaran dokumen juga berlaku antara Petronas dan Sabah Energy Corporation untuk Mutiara Cluster. 

 

HoA ini menyediakan rangka kerja bagi Gas Sales Agreement yang dijangka dilaksanakan pada suku pertama 2029.

 

Dokumen lain turut dipertukarkan bagi Permata Cluster PSC, yang terletak di luar pesisir Sabah, antara PETRONAS dan Bridge Petroleum Limited sebagai kontraktor baru. 

 

Langkah ini menunjukkan kerajaan negeri terus aktif dalam memperluas penglibatan tempatan dalam projek minyak dan gas.

 

Di bawah pentadbiran Sabah sekarang, SMJ Energy terus mempercepatkan penciptaan nilai melalui kerjasama strategik, penglibatan tempatan, dan pengurusan sumber secara bertanggungjawab. Langkah-langkah ini dijangka menyokong pertumbuhan mampan dan kestabilan sektor tenaga negeri untuk tahun-tahun akan datang. - DagangNews.com