KUALA LUMPUR 4 Ogos – RHB Research mengulangi saranan ‘Beli’ ke atas Ranhill Utilities Bhd dan menaikkan harga sasaran (TP) saham itu kepada RM1.70 daripada RM1.37, mencerminkan potensi kenaikan sebanyak 26 peratus.
Firma penyelidikan itu berkata, semakan semula itu dibuat selepas semakan tarif air di Johor serta potensi pertumbuhan kukuh daripada pembangunan pesat pusat data di negeri berkenaan.
“Disokong oleh perubahan peraturan yang kondusif, pemangkin struktur dalam infrastruktur digital Johor dan rekod prestasi pelaksanaan yang konsisten, Ranhill kekal sebagai pilihan menarik dalam sektor infrastruktur jangka panjang,” kata firma itu dalam nota penyelidikan terkini.
RHB Research menambah, Ranhill dijangka meraih manfaat daripada gabungan pelbagai faktor termasuk struktur tarif baharu, peningkatan permintaan daripada pusat data dan sokongan kerajaan terhadap pembangunan infrastruktur – meletakkan kumpulan pada landasan pertumbuhan mampan untuk tempoh beberapa tahun.
Firma penyelidikan itu juga menjangka saham Ranhill menawarkan hasil dividen sederhana sekitar 1 peratus bagi tahun kewangan berakhir Jun 2026 dengan potensi kenaikan jika kumpulan memenangi lebih banyak kontrak.
Semakan harga sasaran ini dibuat susulan pengumuman struktur tarif air baharu oleh Ranhill SAJ Sdn Bhd (RSAJ), anak syarikat milik 80 peratus Ranhill, yang berkuat kuasa 1 Ogos 2025.
Struktur baharu tersebut turut memperkenalkan kategori tarif khas bagi pusat data untuk menyokong projek infrastruktur utama seperti Layang 2 Fasa 2 (160 juta liter sehari), Semanggar (50 MLD), dan Semanggar 3 (120 MLD).
RSAJ menyemak kadar bagi semua kategori pengguna, termasuk peningkatan kadar sebanyak 8 hingga 11 peratus bagi pengguna domestik Band 3 dan pukal, iaitu antara 20 hingga 35 sen setiap meter padu (m³).
Sementara itu, pengguna bukan domestik menyaksikan kenaikan antara 3 hingga 51 peratus, dengan Band 2 mencatat kenaikan paling tinggi – daripada RM3.50/m³ kepada RM5.30/m³.
Satu kategori baharu turut diperkenalkan untuk pusat data dengan kadar RM5.33/m³ – lebih tinggi sedikit berbanding Band 2, namun masih rendah berbanding kadar industri Singapura sekitar RM5.80/m³ termasuk cukai kumbahan.
RHB Research menjangkakan semakan tarif itu akan meningkatkan purata tarif campuran RSAJ daripada RM2.56 kepada RM2.88/m³ pada FY26F (berdasarkan sumbangan selama 11 bulan), dan seterusnya kepada RM3.14/m³ bagi tahun penuh FY27.
Unjuran pendapatan bersih bagi FY26 dan FY27 turut dinaikkan sebanyak 15.3 peratus dan 23.4 peratus masing-masing, sejajar dengan peningkatan hasil yang dijangkakan.
Penggunaan air dijangka naik kepada 4 peratus
Pada masa sama, RHB Research turut menyemak naik unjuran pertumbuhan penggunaan air jangka panjang kepada 4 peratus daripada 3.5 peratus bermula FY30, dipacu oleh permintaan daripada pusat data dan pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Menurut laporan *Market Spotlight* oleh DC Byte bertarikh Julai 2025, Johor kini mempunyai kapasiti pusat data aktif sebanyak 487 MW, dengan tambahan 324 MW sedang dibina dan 1,473 MW dalam komitmen.
RHB menjangkakan 300 MW pusat data baharu akan mula beroperasi setiap tahun untuk tempoh enam tahun akan datang, dengan pusat data dijangka menyumbang 8 hingga 15 peratus daripada penggunaan air bukan domestik RSAJ dalam tiga tahun akan datang.
Selain keuntungan berkaitan tarif, Ranhill juga dijangka mendapat manfaat daripada Program Air Tidak Berhasil (NRW) Kebangsaan yang diperuntukkan RM2.5 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (2025–2030).
Anak syarikat Ranhill, Ranhill Technologies sebelum ini memperoleh kontrak bernilai RM61.5 juta di Kelantan pada Mac 2022 untuk menggantikan 103 km paip lama, dan berada dalam kedudukan kukuh untuk mendapat manfaat daripada pelaksanaan projek NRW di seluruh negara.
Walaupun belum memperoleh projek baharu dalam FY24 setakat ini, RHB menjangka pelaksanaan nasional inisiatif NRW berpotensi merangsang semula saluran kontrak kumpulan.
Harga sasaran baharu RM1.70 itu berdasarkan penilaian jumlah bahagian (*sum-of-parts*, SOP) termasuk premium ESG sebanyak 4 peratus, selaras dengan komitmen Ranhill terhadap amalan kelestarian.
Namun begitu, RHB turut mengingatkan bahawa sebarang kelembapan dalam penggunaan air, khususnya dari segmen industri atau kediaman, boleh memberi risiko kepada unjuran pendapatan masa hadapan kumpulan. - DagangNews.com








