Maxis kenal pasti individu disyaki bocorkan data Khairul Aming, MCMC diarah siasat | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Maxis kenal pasti individu disyaki bocorkan data Khairul Aming, MCMC diarah siasat

Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 22 Julai – Maxis mengenal pasti individu yang disyaki bertanggungjawab membocorkan maklumat bil telefon milik pencipta kandungan dan usahawan, Khairul Aming, sambil menyifatkan insiden itu sebagai `kes terpencil' membabitkan akses tanpa kebenaran dan mengesahkan tindakan undang-undang sedang diambil.

 

Syarikat telekomunikasi itu berkata, siasatan dalaman berjaya mengenal pasti identiti individu yang dikaitkan dengan insiden berkenaan dan tindakan segera sedang dilaksanakan bagi menangani pelanggaran tersebut.

 

"Kami telah mengenal pasti individu yang dikaitkan dengan insiden ini dan sedang mengambil tindakan segera, termasuk tindakan undang-undang," katanya dalam satu kenyataan.

 

Maxis berkata, pihaknya turut menghubungi Khairul Aming dan menegaskan hasil siasatan setakat ini tidak menunjukkan berlaku sebarang kompromi yang lebih meluas membabitkan pelanggan lain.

 

Menurut syarikat itu, semua akses kepada akaun pelanggan direkodkan dan dipantau secara menyeluruh.

 

Tiada bukti pelanggan lain terjejas

"Hasil siasatan kami menunjukkan ini merupakan `insiden terpencil' yang membabitkan tindakan tanpa kebenaran.

 

"Tiada sebarang petunjuk bahawa insiden ini melibatkan pelanggan lain," katanya.

 

Maxis turut memohon maaf kepada Khairul Aming dan menegaskan komitmennya untuk terus melindungi data peribadi pelanggan.

 

"Kami dengan ikhlas memohon maaf atas insiden ini. Kami kekal komited untuk memastikan privasi serta perlindungan data peribadi pelanggan sentiasa terpelihara," katanya.

 

Insiden itu tercetus selepas Khairul Aming mempersoalkan menerusi platform Threads bagaimana seorang pengguna media sosial lain memperoleh maklumat bil telefon peribadinya sebelum menyiarkannya secara terbuka.

 

Pengguna berkenaan didakwa mendakwa Khairul Aming mempunyai tunggakan bil telefon berjumlah RM498 selain mendedahkan beberapa pembelian perkhidmatan tambahan digital yang dikaitkan dengan akaunnya.

 

solar

 

MCMC diarahkan menyiasat

Pendedahan itu turut mendapat perhatian kerajaan apabila Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mendapatkan laporan lengkap berhubung dakwaan kebocoran data tersebut.

 

Fahmi berkata, dakwaan itu dipandang serius kerana ia memberi gambaran bahawa individu yang tidak diberi kuasa mungkin telah memperoleh akses kepada maklumat sulit pelanggan serta sistem dalaman atau sistem operasi syarikat telekomunikasi berkenaan.

 

"Saya telah mengadakan pertemuan dengan wakil syarikat telekomunikasi itu dan mereka memaklumkan sedang menghubungi Khairul Aming.

 

"Saya juga akan mengarahkan MCMC mendapatkan laporan penuh berhubung perkara ini," katanya selepas merasmikan Persidangan Pengawal Selia Antarabangsa (IRC) 2026.

 

Beliau menegaskan, penyebaran maklumat peribadi yang boleh mengenal pasti seseorang (Personally Identifiable Information atau PII) tanpa kebenaran merupakan satu kesalahan di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi.

 

Sehubungan itu, Fahmi menggesa orang ramai yang mengalami kejadian seumpama itu supaya membuat laporan kepada MCMC bagi membolehkan suruhanjaya berkenaan mengumpulkan bukti serta mengambil tindakan penguatkuasaan yang sewajarnya. - DagangNews.com