RHB Research naik taraf sektor minyak & gas kepada ‘overweight’, harga minyak tinggi pacu prospek pendapatan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

RHB Research naik taraf sektor minyak & gas kepada ‘overweight’, harga minyak tinggi pacu prospek pendapatan

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 14 April – Sektor minyak dan gas dinaik taraf kepada penarafan ‘overweight’ daripada ‘neutral’ susulan lonjakan harga minyak global yang didorong ketegangan geopolitik di Timur Tengah, menurut RHB Research.

 

Firma penyelidikan berkata, risiko gangguan bekalan di sekitar Selat Hormuz serta kerosakan terhadap infrastruktur penapisan utama di rantau Teluk telah menyokong kenaikan harga minyak dalam tempoh terdekat.

 

“Walaupun harga dijangka sederhana dalam jangka masa tertentu, pemulihan bekalan tidak akan berlaku serta-merta berikutan kelewatan operasi semula dan kekangan logistik,” katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.

 

Sehubungan itu, harga minyak dijangka kekal tinggi dalam jangka pendek sekali gus menyokong prestasi pendapatan pemain industri, khususnya dalam segmen midstream seperti pengangkutan, penyimpanan, dan pemasaran  serta syarikat di segmen huluan terpilih.

 

Firma itu turut menyemak naik unjuran purata harga minyak mentah Brent bagi 2026 kepada AS$82.50 setong berbanding AS$62 sebelum ini, selain memperkenalkan unjuran 2027 pada AS$72 setong.

 

Namun, dalam senario lebih buruk sekiranya konflik berterusan atau meningkat, harga minyak berpotensi melonjak sehingga AS$140 hingga AS$150 setong bergantung kepada tahap gangguan bekalan.

 

“Walaupun begitu, kami tidak menjangkakan harga minyak kembali ke paras sebelum konflik dalam masa terdekat kerana premium risiko dan gangguan rantaian bekalan masih berlarutan.

 

“Apabila keadaan kembali stabil, harga dijangka berada sekitar paras pertengahan AS$80 setong sebelum beransur menurun,” jelasnya.

 

Dialog, MISC Jadi Pilihan

Dalam pada itu, firma penyelidikan tersebut mengekalkan Dialog Group Bhd dan MISC Bhd sebagai pilihan utama sektor.

 

Menurutnya, Dialog mempunyai potensi peningkatan daripada harga minyak lebih tinggi melalui pendedahan huluan, selain disokong pendapatan stabil daripada perniagaan terminal tangki dan midstream.

 

Sementara itu, MISC dijangka mendapat manfaat daripada kadar sewaan kapal tangki yang lebih tinggi berikutan kekangan bekalan kapal serta peningkatan permintaan penghantaran.

 

Firma itu turut berpandangan Petronas Chemicals Group Bhd berpotensi menjadi penerima manfaat dalam senario konflik berpanjangan, yang boleh menyokong harga produk petrokimia dan meningkatkan margin.

 

Bagaimanapun, katanya, tahap dan kelestarian potensi tersebut masih tidak menentu kerana bergantung kepada tempoh gangguan bekalan serta keadaan permintaan global.

 

“Risiko utama kepada pandangan ini ialah harga minyak dan permintaan global yang lebih lemah daripada jangkaan, khususnya dari China,” tambahnya. - DagangNews.com