RHB Research menilai untung MGB bagi 4QFY25 mendatar berikutan kelemahan segmen pembinaan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

RHB Research menilai untung MGB bagi 4QFY25 mendatar berikutan kelemahan segmen pembinaan

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 11 Feb – Keuntungan MGB Berhad bagi suku keempat tahun kewangan 2025 dinilai bergerak mendatar dan berada dalam julat antara RM13 juta hingga RM17 juta, menurut RHB Research.


Angka tersebut bersamaan perubahan tahun ke tahun (YoY) antara penyusutan 17% hingga peningkatan 8%, berikutan kelemahan sementara dalam segmen pembinaan yang melibatkan fasa penyiapan projek.


Firma penyelidikan itu namun menegaskan tekanan tersebut bukan bersifat struktur, sebaliknya hanya membabitkan masa peralihan projek, dan mengekalkan saranan 'beli' ke atas saham syarikat tersebut.


"Kami menetapkan harga sasaran (TP) baharu 72 sen sesaham ke atas MGB, yang menawarkan potensi kenaikan 50% serta hasil dividen diramal kira-kira 6% bagi FY26," kata RHB Research dalam notanya.


Jelasnya, bagi tempoh sembilan bulan 2025, segmen pembinaan kumpulan itu mencatatkan kerugian sebelum cukai RM10.5 juta, berbanding keuntungan RM8.7 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.


Kelemahan berkenaan tambah firma tersebut, susulan pelakanaan projek Prestige, Kita Sejati dan Kita Mesra yang hampir siap serta kos lebih tinggi dalam perniagaan pratuang di pasaran Arab Saudi.


Bagaimanapun kata RHB Research, MGB berjaya memperoleh kontrak baharu bernilai RM700 juta untuk bahagian efektif pada FY25, yang dijangka menyumbang secara berperingkat antara 2H26 hingga 1H27.


"Keadaan ini sekali gus memperkukuh keterlihatan pendapatan kumpulan, manakala di Arab Saudi, kami dimaklumkan kumpulan itu kini meningkatkan peranannya sebagai kontraktor," jelas firma berkenaan.


Langkah tersebut berikutan penganugerahan kontrak bernilai RM388.5 juta hingga RM444 juta melalui usaha sama MGB Alameriah Contracting bagi projek pembinaan sejumlah 440 unit apartmen di Madinah.


Setakat ini, kumpulan itu mempunyai tender aktif sekitar 800 juta riyal (RM837 juta) di negara tersebut, manakala segmen pembangunan hartanahnya di Malaysia pula dijangka adalah kekal kukuh.


Ia kata RHB Reearch, disokong oleh kemajuan projek Idaman Cahaya Fasa 2, Idaman Sari dan Saujana Indah Fasa 1 dan 2, walaupun pelancaran projek Rumah Selangorku 3.0 dijadualkan semula kepada FY28.


"Penyesuaian ini mendorong kami menyemak turun unjuran pendapatan FY26 hingga FY27 secara sederhana namun pada keseluruhan, penilaian ke atas saham MGB masih menarik," tambah firma tersebut. 


Selain itu, pemangkin utama syarikat ini termasuk pembangunan lebih pantas Taman Perindustrian Kerteh, Terengganu yang dianggarkan bernilai pembangunan kasar (GDV) RM747 juta. - DagangNews.com