KUALA LUMPUR 24 Nov – Ranhill Utilities Bhd dijangka mencatat keuntungan teras antara RM12 juta hingga RM15 juta bagi suku pertama tahun kewangan berakhir Jun 2026, berbanding RM6 juta bagi suku yang sama sebelumnya, susulan kenaikan tarif, menurut RHB Research.
Firma penyelidikan itu berkata, permintaan tinggi daripada pusat data di Johor dan usaha mengurangkan air tidak berhasil (NRW) dijangka memberi manfaat kepada cabang perkhidmatan dan perundingan Ranhill, yang menyumbang 26% daripada hasil FY25.
RHB Research juga mengekalkan saranan Beli untuk Ranhill dengan harga sasaran baharu RM2.30, menawarkan potensi kenaikan 31% daripada harga pasaran semasa RM1.76 dan dividen anggaran sekitar 1%.
“Sehingga kini, Johor mempunyai 15 pusat data yang sudah siap beroperasi dengan kapasiti 1,700GW, manakala kesemua 48 pusat data dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang 2030 dengan kapasiti keseluruhan 5,100GW.
“Tambahan kapasiti ini memerlukan kira-kira 238 juta liter sehari (MLD) bagi bekalan air pusat data, sementara baki kapasiti air akan disalurkan ke industri lain dan kawasan kediaman termasuk Johor Bahru, yang berkembang pesat berikutan Projek Sistem Transit Rapid (RTS).
“Selain itu, rancangan kerajaan negeri untuk menambah kapasiti bekalan air kepada kira-kira 3,000 MLD menjelang 2030 turut akan disokong oleh beberapa loji rawatan air baharu, termasuk Semanggar WTP (60 MLD, siap 2026) dan Layang 2 Fasa 2 (150 MLD, siap 2027),” kata RHB Research dalam nota kajiannya.
Di samping itu, program National NRW bernilai RM2.5 bilion (2025–2030) dijangka memberi manfaat kepada Ranhill melalui anak syarikatnya Ranhill Technologies, termasuk projek penggantian paip lama di Kelantan bernilai RM61.5 juta.
RHB Research berkata, dari aspek ESG, Ranhill mencatat skor keseluruhan 3.2 daripada 4, dengan prestasi cemerlang dalam kategori persekitaran, manakala kategori sosial dan tadbir urus dinilai baik.
Syarikat berhasrat mengurangkan emisi Skop 1 dan Skop 2 sebanyak 90 peratus menjelang 2050 berbanding tahun asas 2022, dengan baki emisi akan diurus melalui kaedah penghapusan atau pengimbangan karbon.
RHB menegaskan bahawa pada penilaian FY27, Ranhill diniagakan pada EV/EBITDA 4.5x, lebih rendah daripada purata sektor air dalam tempoh 10 tahun sekitar 6.3x, menjadikannya pilihan menarik bagi pelabur yang mencari peluang kepada sektor utiliti dan bekalan air di Johor.- DagangNews.com








