KUALA LUMPUR 3 Feb – Puspakom Sdn Bhd sedang mempercepatkan pelaksanaan transformasi berterusan di bawah inisiatif #MacamBaharu bagi memperluas rangkaian pemeriksaan kenderaan di seluruh negara serta meningkatkan penggunaan teknologinya.
Transformasi ini memberi tumpuan kepada pengukuhan kapasiti perkhidmatan dan pengurangan kesesakan di cawangan sedia ada.
Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom Mahmood Razak Bahman berkata MacamBaharu mencerminkan perubahan yang dirancang dengan teliti dalam cara pihaknya merancang dan menyampaikan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan.
“Usaha ini bukan sekadar penyelesaian jangka pendek, sebaliknya menumpukan kepada proses naik taraf kemudahan, pemodenan serta peluasan kapasiti bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat.
“Program transformasi merangkumi pembangunan cawangan baharu, pemindahan dan perluasan kemudahan sedia ada, serta penambahan lorong pemeriksaan secara berperingkat.
“Selain itu, Puspakom turut menggunakan proses berasaskan teknologi untuk menyokong standard kenderaan yang terus berkembang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada 2025, Puspakom telah menjalankan sebanyak 4.22 juta pemeriksaan kenderaan dengan purata masa 35 minit bagi setiap pelanggan di 53 cawangan seluruh negara.
Bagi meningkatkan capaian perkhidmatan, beberapa cawangan baharu akan dibuka di Kajang, Cyberjaya, Bukit Beruntung, Pelabuhan Klang dan Pulau Pinang.
Lokasi sedia ada yang mendapat permintaan tinggi seperti Batu Caves dan Kluang turut akan diperluas dan dinaik taraf.
Beliau berkata cawangan Kajang dijadualkan mula beroperasi pada Jun 2026 dengan kapasiti sehingga 800 kenderaan sehari manakala Cyberjaya pula akan beroperasi pada Mei 2027 dan menyokong pemeriksaan kenderaan baharu termasuk kenderaan elektrik.


“Di Bukit Beruntung yang melibatkan pemindahan operasi Wangsa Maju, akan beroperasi pada Jun 2027 dengan kapasiti harian 440 kenderaan.
“Sementara itu, cawangan Batu Caves sedang diperluas dengan peningkatan kapasiti melebihi 45%, daripada 352 kepada 512 kenderaan sehari, dijangka siap Mei 2027,” katanya.
Cawangan sedia ada turut terlibat dengan projek naik taraf itu di mana Alor Setar mula beroperasi pada Disember 2025 dengan kapasiti harian meningkat sebanyak 48% daripada 340 kepada 504 kenderaan, manakala Seremban merekodkan peningkatan 18% kepada 692 kenderaan sehari selepas penambahan lorong pemeriksaan.
Beliau berkata selain peningkatan fizikal, Puspakom turut memperkukuh operasi melalui sistem digital sedia ada termasuk Sistem Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (CAVIS) versi 4, yang menyokong aliran kerja pemeriksaan, pengumpulan data dan pelaporan di seluruh rangkaian.
“Sistem pemeriksaan bahagian bawah kenderaan berasaskan kecerdasan buatan bakal diperkenalkan melalui Perkhidmatan Trak Bergerak (MTS) mulai April 2026. Sistem ini dibangunkan bersama Keymag Sdn Bhd untuk meningkatkan keupayaan mengesan kerosakan serta menyokong penilaian yang lebih konsisten, namun keputusan akhir Lulus atau Gagal tetap dibuat oleh Pemeriksa Kenderaan.
“Selain itu, Puspakom turut membangunkan sistem ASTRA (AI Surveillance and Tracking) bagi pemeriksaan bahagian atas kenderaan, tadbir urus dan pematuhan. Sistem ini dibangunkan bersama Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan memfokuskan pengukuhan integriti, ketelusan serta pemantauan proses pemeriksaan,” katanya.
ASTRA merangkumi modul pengecaman wajah pemeriksa, pengecaman nombor pendaftaran, pengesanan nombor casis dan enjin serta pemantauan penggunaan topi keselamatan dan pergerakan pemeriksa semasa pemeriksaan.
Ujian sistem dijadualkan di cawangan Shah Alam mulai Februari 2026, dengan pelaksanaan penuh dijangka siap menjelang September 2026.
Mahmood menegaskan proses naik taraf ini mencerminkan komitmen Puspakom dalam membina budaya keselamatan yang kukuh.
“Dengan memperkukuh kapasiti, kemudahan dan sistem, kami memastikan pemeriksaan dijalankan secara konsisten dan selamat setiap hari,” katanya.
Puspakom kini mempunyai 53 pusat pemeriksaan dan 30 tapak lawatan di kawasan kurang penduduk, selain menyediakan Perkhidmatan Pemeriksaan Bergerak melalui 10 Trak Bergerak, 36 Van Bergerak dan 4 Unit Ringan, memastikan perkhidmatan cekap dan profesional terus ke lokasi pelanggan. - DagangNews.com








