KUALA LUMPUR 20 Nov – Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) dan Sarawak Energy memperkukuh ekosistem vendor tempatan melalui Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani pada 12 November lalu.
Kerjasama ini bertujuan memacu pertumbuhan ekonomi negeri serta menyokong pembangunan tenaga boleh diperbaharui di Sarawak.
Menurut kenyataan PUNB, kerjasama strategik ini akan menjadi pemangkin utama bagi membina kapasiti vendor tempatan yang berkemahiran tinggi, berdaya tahan dan kukuh dari segi kewangan, memastikan mereka bersedia untuk terlibat dalam projek-projek bernilai tinggi yang dikembangkan oleh Sarawak Energy.
Kerjasama ini memberi tumpuan kepada tiga bidang utama. Pertama, sokongan kewangan, di mana PUNB menawarkan akses kepada pembiayaan perniagaan di bawah Skim PROSPER sehingga RM10 Juta dan PROSPER IMPACT sehingga RM5 Juta, menjadikan jumlah pembiayaan yang disediakan sebanyak RM15 Juta.
Kedua, ia merangkumi program promosi, pembangunan dan latihan, termasuk pembangunan kapasiti vendor serta khidmat nasihat perniagaan.
Ketiga, ia melibatkan perkongsian pengetahuan untuk meningkatkan keberkesanan ekosistem vendor melalui pertukaran data dan pandangan industri.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Izwan Zainuddin, MoU ini adalah isyarat jelas komitmen PUNB dalam menyalurkan sokongan menyeluruh, merangkumi pembiayaan perniagaan dan sokongan korporat yang berdedikasi untuk melahirkan vendor tempatan yang berdaya tahan dan berdaya saing.
“Kami bukan sahaja menyokong perniagaan dari segi pembiayaan, kami secara aktif membina peneraju industri tempatan yang akan membantu melaksanakan projek-projek tenaga yang menjadi teras kepada aspirasi pembangunan Sarawak,” katanya.
Izwan berkata, kejayaan mereka akan mewujudkan kesan berganda, menjana lebih banyak pekerjaan berkemahiran tinggi dan memastikan lebih banyak nilai ekonomi kekal di Sarawak.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy, Datuk Sharbini Suhaili berkata, pendekatan mereka terhadap pembangunan vendor mampan berasaskan kerjasama strategik yang membolehkan perniagaan tempatan berkembang bersama Sarawak Energy.
“Kerjasama dengan agensi pembangunan seperti PUNB membolehkan kami menyokong pembangunan vendor Sarawak melalui akses pembiayaan yang lebih baik, pengukuhan keupayaan perniagaan dan peningkatan prestasi penyampaian,” katanya.
Sharbini menambah, ini mencerminkan komitmen kami terhadap Matlamat Pembangunan Mampan 17: Kerjasama Demi Matlamat, serta usaha membina rantaian bekalan yang berdaya tahan dan inklusif bagi menyokong pembangunan Sarawak.
Majlis menandatangani MoU itu disaksikan oleh Pengurus Besar Bahagian Perniagaan, Razlan Bachik, bersama pengurusan kanan dari PUNB dan Sarawak Energy, menandakan permulaan kerjasama strategik yang dijangka memberi impak besar kepada vendor tempatan Sarawak. - DagangNews.com








