Pulau Pinang mohon peruntukan RM1.56 bilion untuk mulakan projek Lebuh Raya PIL 1 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pulau Pinang mohon peruntukan RM1.56 bilion untuk mulakan projek Lebuh Raya PIL 1

Gambar Aaron Lee/Unsplash
Oleh

KUALA LUMPUR 21 Mei - Kerajaan Negeri Pulau Pinang memohon peruntukan sebanyak RM1.56 bilion daripada Kerajaan Persekutuan dalam Belanjawan 2026 untuk memulakan pembinaan Lebuh Raya Pan Island Link 1 (PIL 1) yang telah lama tertangguh.

 

Lebuh raya sepanjang 19 kilometer itu dijangka menelan kos keseluruhan RM8.88 bilion dan direka untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas antara kawasan utara dan selatan Pulau Pinang. 

 

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan Negeri, Zairil Khir Johari berkata, projek tersebut merupakan cadangan pembangunan paling mahal dalam kalangan 128 projek yang dikemukakan oleh kerajaan negeri di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RP13) Fasa Pertama.

 

"Permohonan peruntukan ini dibuat secara berperingkat kerana projek-projek itu akan dilaksanakan secara berfasa," katanya seperti laporan Free Malaysia Today.

 

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis ketika menjawab soalan Lee Khai Loon (PH–Machang Bubok) semasa Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang. 

 

Secara keseluruhan, Pulau Pinang memohon RM2.1 bilion untuk melaksanakan semua 128 projek tersebut, dengan jumlah kos dianggarkan RM17.2 bilion dalam tempoh beberapa tahun.

 

Antara permohonan lain termasuk RM25 juta untuk projek terowong bawah tanah yang menghubungkan Jalan Mount Erskine ke Jalan Burma, yang bakal mengurangkan kesesakan di simpang Jalan Gottlieb. 

 

Kerajaan negeri juga memohon RM3.75 juta untuk memulakan projek itu pada tahun depan.

 

Cadangan utama lain adalah pembinaan hospital Islam di George Town (RM400 juta), pelabuhan tuna di Batu Maung (RM300 juta) untuk menjadikan negeri itu hab perikanan serantau dan sebuah sekolah menengah baharu di Juru (RM99 juta).

 

Pulau Pinang turut meneruskan agenda pendigitalan dan inovasi dengan memohon RM124 juta dalam bentuk geran untuk latihan kecerdasan buatan (AI), keselamatan siber dan inkubator syarikat pemula melalui agensi Digital Penang.

 

Di samping itu, negeri memohon RM260 juta bagi kerja pencegahan banjir di sepanjang Sungai Perai, serta peruntukan untuk kajian penyahgaraman air, penambahbaikan kawasan tadahan air dan sistem saliran pintar.

 

Satu lagi cadangan melibatkan kerja-kerja naik taraf Bangunan Gate House di Bukit Bendera sebagai galeri pelancongan bertemakan pendidikan dalam satu projek bernilai RM8 juta.

 

Semua permohonan berkenaan akan dipertimbangkan dalam Belanjawan Persekutuan 2026. - DagangNews.com