KUALA LUMPUR 27 Nov – PETRONAS Dagangan Bhd dijangka mengekalkan prestasi stabil bagi tahun kewangan 2025 meskipun menghadapi persekitaran pasaran global yang mencabar, berasaskan permintaan domestik yang kukuh dan strategi syarikat yang proaktif, kata penganalisis.
MBSB Research mengekalkan saranan Beli untuk Petronas Dagangan kerana prestasi kewangan syarikat yang stabil dan prospek pertumbuhan yang kukuh.
“Keuntungan teras 3QFY25 meningkat 5.6% berbanding suku sebelumnya, manakala keuntungan 9MFY25 naik 1.3% YoY, selaras dengan unjuran penganalisis dan mencapai kira-kira 74% daripada sasaran tahunan.
“Segmen komersial syarikat kekal kukuh dengan permintaan Diesel dan Jet A1 yang tinggi, manakala dividen tetap stabil memberikan pulangan menarik kepada pelabur,” kata firma tersebut dalam nota kajiannya.
Selain itu, MBSB Research melihat potensi pertumbuhan masa depan melalui pengembangan Petronas Dagangan dalam perniagaan bukan bahan api, termasuk tenaga baru dan bahan api hijau.
“Langkah ini mempelbagaikan sumber pendapatan dan meningkatkan daya tahan syarikat terhadap perubahan pasaran tenaga global.
“Berdasarkan prestasi stabil, segmen komersial yang kukuh, dan strategi pengembangan perniagaan, kami mengekalkan sasaran harga RM25.19 sebagai peluang pelaburan yang menarik,” katanya.
Segmen komersial pula melihat permintaan Jet A1 yang kukuh, dengan jualan subsegmen ini meningkat 12% YoY untuk 9MFY25 walaupun hasil menurun 3% akibat penurunan harga jualan.
Firma penyelidikan itu berkata, segmen kedai serbaneka menunjukkan prestasi memberangsangkan, dengan keuntungan 3QFY25 meningkat kepada RM29.2 juta berbanding kerugian RM19.4 juta pada 3QFY24.
ARTIKEL BERKAITAN: PETRONAS Dagangan mencatat penurunan 16% dalam untung bersih kepada RM281.3 juta pada 3QFY2025 akibat margin operasi lebih rendah
Sementara itu, CGS International pula mengekalkan saranan ‘Reduce” untuk Petronas Dagangan Bhd dengan sasaran harga DDM RM16.77, berikutan risiko potensi penurunan keuntungan dan dividen bagi suku keempat 2025.
Menurut laporan firma itu, keuntungan teras 9MFY25 Petronas Dagangan adalah kira-kira 75% daripada unjuran tahunan penganalisis dan konsensus LSEG, selaras dengan jangkaan.
“Keuntungan teras 3Q25 sebanyak RM277 juta meningkat sedikit 2.6% QoQ disebabkan keuntungan syarikat berkaitan lebih tinggi dan cukai yang lebih rendah, walaupun EBIT kekal sama kerana kos MOPS yang meningkat mengimbangi kenaikan hasil.
“Jumlah jualan keseluruhan 3Q25 naik 4% QoQ, didorong oleh peningkatan jualan RON95 sebelum pemansuhan subsidi untuk warga asing berkuat kuasa 30 September 2025,” kata firma itu.
CGSI berkata, keuntungan 4QFY25 berpotensi tertekan berbanding 3QFY25 kerana perbelanjaan penyelenggaraan tertangguh dan pemansuhan subsidi RON95 untuk warga asing, yang boleh menjejaskan jumlah jualan runcit.
“Walaupun terdapat peluang positif seperti permintaan bahan api jet lebih tinggi semasa promosi Tahun Melawat Malaysia 2026 dan kemungkinan penyalahgunaan kad pengenalan oleh bukan warganegara untuk membeli RON95 bersubsidi, kami berpendapat risiko negatif lebih besar.
“Pemansuhan subsidi RON95 dan trend jualan runcit yang lemah boleh menjejaskan pendapatan per saham (EPS) dan dividen (DPS), justeru menjadi asas saranan Reduce bagi saham Petronas Dagangan,” katanya. - DagangNews.com








