KUALA LUMPUR 26 Nov – PETRONAS Dagangan mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM281.25 juta pada suku ketiga berakhir 30 September 2025 (3QFY2025), merosot 16% berbanding RM335.13 juta pada suku sama tahun 2024 berikutan margin operasi yang lebih rendah.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, pendapatan pada suku tersebut juga merosot sedikit kepada RM9.53 bilion berbanding RM9.73 bilion pada 3QFY2024 disebabkan volum dan harga produk yang lebih rendah.
“Keuntungan menurun disebabkan keadaan pasaran yang mencabar dan trend harga minyak yang kurang menggalakkan. Walaupun jualan bahan api Jet A1 meningkat, ia tidak dapat menampung kelemahan lain dalam segmen runcit dan komersial, menyebabkan keuntungan keseluruhan berkurangan.
“Pendapatan suku tersebut juga menurun 2% kepada RM9.53 bilion berbanding RM9.73 bilion pada tahun sebelumnya. Pendapatan runcit berkurangan kerana permintaan diesel yang lemah dan harga pam yang lebih rendah, manakala pendapatan komersial kekal hampir sama kerana peningkatan jualan sebanyak 11% bagi Jet A1 diimbangi oleh harga jualan yang lebih rendah,” katanya.
Bagaimanapun, operasi kekal kukuh dengan keuntungan sebelum cukai RM386.6 juta.
Bagi tempoh sembilan bulan pertama 2025, PETRONAS Dagangan mencatatkan pendapatan RM27.69 bilion, menurun berbanding RM28.96 bilion sebelumnya.
Namun, keuntungan bersih kumulatif meningkat sedikit kepada RM840.2 juta berbanding RM837.6 bilion pada 9M2024.
Segmen runcit dan komersial kekal menjadi penyumbang utama, masing-masing menyumbang lebih RM14.4 bilion dan RM13 bilion kepada pendapatan PETRONAS Dagangan.
Kedudukan kewangan syarikat juga bertambah baik dengan tunai dan setara tunai melonjak kepada RM3.93 bilion berbanding RM2.11 bilion pada akhir 2024, didorong aliran tunai operasi yang kukuh berjumlah RM2.89 bilion.
Dari segi imbangan kira-kira, jumlah aset kumpulan berjumlah RM10.9 bilion pada 3QFY2025 manakala ekuiti pemegang saham berada pada RM5.95 bilion dengan nilai aset bersih RM5.99 sesaham.
Ia mengumumkan dividen interim ketiga sebanyak 24 sen sesaham, bernilai RM238.43 juta, bagi suku tersebut.
Pembayaran dividen, tidak berubah berbanding setahun sebelumnya, akan dibayar pada 24 Disember kepada pemegang saham yang berdaftar pada 11 Disember.
Sepanjang tempoh sembilan bulan, syarikat telah membayar dividen berjumlah RM864.3 juta.
PETRONAS Dagangan juga memaklumkan perkembangan baharu struktur korporatnya termasuk penubuhan PDB Growth Solutions Sdn Bhd dan usaha sama dengan Blueshark Ecosystem bagi pembangunan motosikal elektrik serta rangkaian stesen pertukaran bateri di Malaysia.
Secara keseluruhan, kumpulan mengekalkan prestasi stabil dengan asas kewangan kukuh walaupun persekitaran pasaran bahan api kekal mencabar - DagangNews.com








