Prospek pendapatan Cahya Mata dijangka bertambah baik FY27 - Penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prospek pendapatan Cahya Mata dijangka bertambah baik FY27 - Penganalisis

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 25 Feb - Prospek pendapatan Cahya Mata Sarawak Berhad (CMSB) dijangka bertambah baik pada FY27 dengan jangkaan peningkatan kapasiti operasi loji fosfat dan penyiapan loji klinker baharu, menurut penganalisis.

 

Maybank Investment Bank (Maybank IB) walaupun menurunkan unjuran pendapatan bagi FY26E dan FY27E sebanyak 8% setahun susulan pelarasan dalaman, namun tetap optimis dengan pengenalan unjuran FY28E yang dijangka mencatat pertumbuhan 9% YoY, menurut penganalisis pasaran.

 

Firma itu menjangkakan keuntungan bersih teras berkembang pada kadar CAGR 33% dari FY25A hingga FY27E susulan peningkatan kapasiti operasi loji fosfat, sekali gus menyokong jangkaan pemulihan prestasi selepas kerugian suku lepas.

 

"Pertumbuhan FY28E sebanyak 9% YoY dijangka disokong oleh penambahbaikan margin apabila loji klinker baharu berkapasiti 6,000 tan sehari mula beroperasi pada separuh kedua FY27/ separuh pertama FY28. 

 

Langkah ini juga dijangka mengurangkan kebergantungan CMS kepada import klinker luar negara yang lebih mahal, sekaligus meningkatkan daya saing kos kumpulan," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Maybank IB berkata, dengan mengekalkan andaian PER FY26E sebanyak 13 kali (purata PER hadapan 12 bulan jangka panjang), firma itu menurunkan harga sasaran (TP) kepada MYR1.72 daripada MYR1.87. 

 

"Kami menjangkakan CMS menjana CAGR keuntungan bersih teras tiga tahun akan datang sebanyak 24%," katanya lagi.

 

Sementara itu MBSB Research berkata, CMSB mengekalkan fokus kepada segmen simen sebagai pemacu utama keuntungan kumpulan, walaupun prospek jangka terdekat masih dibebani bahagian fosfat yang berada dalam fasa pentauliahan.

 

Sejajar prestasi yang lebih lemah, MBSB menurunkan sedikit unjuran pendapatan bagi FY26E/FY27F masing-masing sebanyak -8.1% dan -6.3%. Prospek pendapatan dijangka bertambah baik pada FY27 dengan penyiapan Clinker Line 2 di Mambong yang dijangka siap menjelang pertengahan 2027.

 

Bagaimanapun MBSB menyemak naik TP kepada RM1.57 daripada RM1.49 sebelum ini, selepas melanjutkan tahun asas penilaian kepada FY27F. Penilaian ini berdasarkan EPS disemak sebanyak 14.3 sen dan PER 11 kali, sejajar dengan purata lima tahun syarikat.

 

MBSB menambah, pengurusan CMSB menekankan pelaksanaan projek Clinker Line 2 bukan sahaja akan meningkatkan kapasiti pengeluaran tetapi turut menyokong kecekapan kos, sekali gus mengukuhkan margin keuntungan dalam jangka panjang. 

 

Dengan perkembangan infrastruktur dan projek pembinaan yang dijangka rancak di negeri ini, CMSB berada pada landasan untuk memanfaatkan aliran kerja lebih kukuh dan meningkatkan sumbangan segmen simen terhadap keuntungan keseluruhan kumpulan. - DagangNews.com