Prospek kukuh Samaiden pada suku mendatang dipacu pelbagai inisiatif tenaga baharu - Penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prospek kukuh Samaiden pada suku mendatang dipacu pelbagai inisiatif tenaga baharu - Penganalisis

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 14 Nov - Samaiden Group dijangka mencatat prestasi yang lebih baik pada suku-suku mendatang seiring kemajuan kukuh dalam kontrak Corporate Green Power Programme (CGPP), menurut penganalisis.

 

RHB Research menyatakan kekal optimis terhadap prospek pertumbuhan kumpulan ini, dipacu pelbagai inisiatif dalam sektor solar ketika Malaysia menyasarkan campuran tenaga boleh baharu (RE) sebanyak 70% menjelang 2050.

 

Katanya, buku pesanan Samaiden kekal kukuh pada sekitar MYR617.5 juta setakat September, memberikan keterlihatan pendapatan yang baik. 

 

"Kami menjangkakan momentum keuntungan akan terus meningkat pada suku-suku seterusnya apabila lebih banyak kerja EPCC berkaitan CGPP diiktiraf.

 

"Selain portfolio CGPP, kumpulan ini turut mencatat kemajuan berterusan bagi projek Large-Scale Solar (LSS) 5 dan LSS5+, di samping giat membida tender tenaga boleh baharu (RE) yang baharu," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Melangkah ke hadapan, RHB berkata, prospek sektor kekal cerah, disokong oleh landskap dasar pro-RE Malaysia, termasuk skim Pembiayaan Teknologi Hijau (GTFS) 5.0, pengenalan cukai karbon pada 2026, program LSS6, dan Solar Accelerated Transition Action Programme (Solar ATAP).

 

"Inisiatif-inisiatif ini dijangka merangsang pelaburan RE dan menyediakan laluan pertumbuhan berbilang tahun untuk Samaiden, mengukuhkan kedudukannya sebagai penerima manfaat utama dalam peralihan tenaga bersih negara," katanya.

 

RHB mengekalkan anggaran pendapatan kerana prestasi 1QFY26 adalah secara keseluruhan sejajar dan mengekalkan saranan BELI dengan TP baharu RMR1.63 (SOP), potensi kenaikan 13%, hasil sekitar 1% bagi FY27F (Jun).

 

"Dengan melanjutkan asas penilaian kepada CY26F, kami memperoleh TP baharu berasaskan SOP sebanyak MYR1.63, merangkumi 24x P/E CY26F ke atas pendapatan EPCC, DCF (WACC 7.8% bagi aset biogas dan biojisim milikan 60%), dan DCF (WACC 5.9% bagi aset CGPP).

 

"TP kami turut memasukkan premium ESG 6%, memandangkan skor ESG Samaiden sebanyak 3.3 berbanding median negara iaitu 3.0," katanya.

 

Sementara itu MBSB Research, turut mengekalkan saranan BELI ke atas Samaiden dengan harga sasaran baharu berasaskan SOTP sebanyak RM1.70, sejajar dengan peralihan tahun asas penilaian firma itu. 

 

"Kami menjangkakan FY26 menjadi tahun yang lebih kukuh bagi kumpulan, dipacu oleh buku pesanan yang kuat. 

 

"Samaiden berada dalam kalangan penerima manfaat utama peluang EPCC di bawah LSS5 dan LSS5+, LSS6 yang bakal diumumkan, serta potensi pertumbuhan tenaga boleh baharu jangka panjang di bawah National Energy Transition Roadmap (NETR)," katanya. - DagangNews.com