Prospek Axiata terus dibayangi nilai lemah aset menara telekomunikasi, kadar hutang tinggi — CIMB Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prospek Axiata terus dibayangi nilai lemah aset menara telekomunikasi, kadar hutang tinggi — CIMB Securities

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 25 Jun — Penurunan penilaian aset menara telekomunikasi di pasaran sempadan serta tahap keberhutangan yang masih tinggi terus membayangi prospek Axiata Group Berhad ketika ini.

 

Menurut analisis CIMB Securities, kelemahan tersebut antara cabaran besar meskipun kumpulan itu dijangka mencatat pertumbuhan pendapatan yang lebih kukuh dalam tempoh tiga tahun akan datang.

 

Selain itu, ketidaktentuan berhubung proses penjanaan nilai aset infrastruktur dan kebergantungan kepada penggabungan perniagaan turut kekal sebagai faktor perlu diberi perhatian oleh pelabur.

 

"Bagaimanapun, kami menjangka keuntungan bersih teras (CNP) Axiata boleh meningkat 46% pada tahun kewangan 2026 (FY26), sebelum berkembang sekitar 21% bagi FY27 hingga FY28," jelas firma tersebut.

 

Tambah CIMB Securities, pertumbuhan pendapatan kumpulan berkenaan dijangka dipacu terutama oleh sumbangan daripada XLSmart dan CelcomDigi menerusi penjanaan sinergi hasil penggabungan syarikat.

 

Tanpa diambil kira penambahan nilai aset dan berdasarkan operasi perniagaan biasa, ia menjangkakan kumpulan itu terus mencatat pertumbuhan keuntungan yang kukuh dalam beberapa tahun akan datang.

 

Axiata_DagangNews2026

 

Saham Axiata ujarnya, kekal menarik dengan penilaian bagi FY27 pada nisbah nilai perusahaan kepada margin kasar sebanyak 5.4 kali, iaitu diskaun 16% berbanding purata rekod sejarah lima tahun lalu.

 

"Proses penjanaan pegangan dalam Edotco masih berjalan dan dijangka muktamad tahun ini, namun kami menurunkan penilaian gandaan margin bagi FY25 kepada sebanyak tujuh kali," kata CIMB Securities.

 

Ia kurang berbanding lapan kali sebelum ini setelah diambil kira potensi penyusutan penilaian aset menara telekomunikasi, namun masih bergantung sekiranya transaksi tersebut berjaya dilaksanakan.

 

Firma itu menganggarkan Axiata berpotensi menerima RM4.3 bilion atau 47 sen sesaham, sekali gus mengurangkan nisbah hutang bersih pada akhir FY26 kepada hanya 0.9 kali daripada 2.5 kali kini.

 

CIMB Securities berkata, jika sasaran nisbah hutang bersih selepas pelupusan pada paras dua kali, syarikat ada ruang pembiayaan sehingga RM3.9 bilion untuk pelaburan baharu atau dividen tambahan.

 

"Kami berpandangan aliran tunai daripada operasi serta bayaran tunai tertunda hasil penggabungan XLS dan penjualan Ncell secara umum cukup bagi memenuhi sasaran dividen hingga FY28," tambahnya.

 

Justeru, firma itu memulakan semula liputan terhadap Axiata dengan saranan 'beli' dan harga sasaran RM2.55 sesaham, disokong penambahbaikan kedudukan kewangan serta dividen menarik. - DagangNews.com