KUALA LUMPUR 25 Jun — Keadaan cuaca kering berpanjangan di Sarawak sejak Mac 2026 dan lonjakan mendadak harga baja terus memberi tekanan kepada prestasi operasi Sarawak Plantation Berhad.
Phillip Capital dalam analisisnya berkata, perkembangan negatif tersebut turut memaksa syarikat perladangan itu menurunkan unjuran pengeluaran tandan buah segar (FFB) sepanjang tahun ini.
Selain itu, peningkatan kos pengeluaran minyak sawit mentah (MSM), turun naik harga komoditi dan ketidaktentuan peraturan industri kekal menjadi cabaran utama perlu dihadapi dalam masa terdekat.
"Kami namun berpandangan pemulihan pengeluaran Sarawak Plantation hanya tertangguh, bukan terjejas sepenuhnya, dipacu profil kematangan ladang dan sumbangan kawasan tanaman baharu," tambahnya.
Pihak pengurusan ujar Phillip Capital, menurunkan panduan pengeluaran FFB bagi 2026 kepada 410,000 tan berbanding 420,000 tan sebelum ini susulan faktor cuaca lemah daripada ramalan awal tahun.
Jelasnya, iklim kering di seluruh Sarawak sejak Mac 2026 menyebabkan proses pematangan buah sawit menjadi lebih perlahan selain ada berlakunya beberapa kes buah masak 'palsu' di kawasan tertentu.

Walaupun panduan pengeluaran diturunkan Sarawak Plantation, ia mengekalkan unjuran pengeluaran bagi 2026 kerana anggaran sedia ada mengambil kira pemulihan tanaman dan gangguan berkaitan cuaca.
"Setakat lima bulan pertama 2026, pengeluaran FFB terkumpul naik kira-kira 8% kepada 141,165 tan, didorong sumbangan kawasan tanaman yang baru mencapai peringkat matang," kata Phillip Capital.
Bagi 2027, pihak pengurusan menyasarkan pengeluaran FFB sebanyak 500,000 tan walaupun mengambil kira kesan cuaca sebanyak 5%, sekali gus mencerminkan keyakinan terhadap prospek pemulihan.
Sarawak Plantation turut menaikkan panduan kos pengeluaran MSM bagi 2026 kepada RM2,600 setiap tan berbanding RM2,300 sebelum ini berikutan andaian pengeluaran rendah serta kenaikan kos baja.
Ujar Phillip Capital, baja kekal menjadi komponen kos yang paling membebankan syarikat dengan harga urea meningkat lebih dua kali ganda manakala harga muriate of potash (MOP) naik sekitar 30%.
"Impak kenaikan harga tersebut namun dijangka dapat dikurangkan apabila kira-kira 60% keperluan baja bagi 2026 sudah pun diperoleh lebih awal pada harga pasaran yang lebih rendah," jelasnya.
Justeru, ia mengekalkan saranan 'pegang' terhadap saham Sarawak Plantation dengan menaikkan harga sasaran (TP) sesaham kepada RM3.87 daripada RM3.38, dipacu pengeluaran tinggi pada 2027. - DagangNews.com








