Peluang kukuh Kee Ming rebut projek solar skala besar, penganalisis naikkan unjuran pendapatan sehingga FY28 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Peluang kukuh Kee Ming rebut projek solar skala besar, penganalisis naikkan unjuran pendapatan sehingga FY28

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 25 Jun - Kontrak mekanikal dan elektrikal (M&E) bernilai RM70 juta di Kedah bakal mengukuhkan kedudukan Kee Ming Group Bhd dalam industri tenaga boleh diperbaharui dan menyumbang secara signifikan kepada pertumbuhan pendapatan kumpulan bagi dua tahun kewangan akan datang.

 

Kenanga Research berkata, berdasarkan andaian margin keuntungan kasar konservatif sebanyak 20%, projek tersebut dijangka menjana keuntungan kasar kira-kira RM14 juta sepanjang tempoh kontrak selama 249 hari.

 

"Daripada jumlah itu, kira-kira RM10 juta dijangka diiktiraf pada tahun kewangan 2027 (FY2027), mewakili 16% daripada unjuran keuntungan firma penyelidikan itu bagi tahun berkenaan, manakala baki RM4 juta dijangka diiktiraf pada FY2028.

 

"Risiko pelaksanaan projek dijangka rendah memandangkan Kee Ming mempunyai rekod prestasi yang kukuh selain hubungan kerjasama erat dengan Solarvest Holdings Bhd yang dijangka memastikan terma pembayaran yang lebih terjamin," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Dari segi prospek, momentum perolehan kontrak dalam sektor solar berskala utiliti dijangka terus kukuh, disokong oleh buku tempahan Solarvest yang kini berjumlah RM2.5 bilion.

 

Dengan andaian kos projek solar sekitar RM3 juta bagi setiap megawatt (MW), firma penyelidikan itu menganggarkan terdapat potensi peluang kerja penyambungan bernilai kira-kira RM833 juta dalam pasaran, dengan kontrak RM70 juta yang diperoleh Kee Ming hanya mewakili sebahagian kecil daripada jumlah tersebut.

 

"Melalui hubungan strategik dengan Solarvest, Kee Ming berada pada kedudukan yang baik untuk meraih lebih banyak kontrak daripada saluran projek sedia ada," katanya.

 

Unjuran Pendapatan Dinaikkan

Firma itu turut berpandangan kapasiti operasi semasa Kee Ming mampu menyokong pertumbuhan berterusan memandangkan syarikat mempunyai 15 pengurus projek yang membolehkannya membida projek bernilai sehingga RM900 juta secara keseluruhan.

 

Susulan kemenangan kontrak tersebut, Kenanga Research menaikkan unjuran pengisian semula buku tempahan bagi FY2027 kepada RM270 juta daripada RM230 juta sebelum ini, manakala bagi FY2028 kepada RM350 juta berbanding RM310 juta.

 

Pada masa sama, unjuran keuntungan bersih teras bagi FY2026 dan FY2027 turut disemak naik masing-masing sebanyak 12% dan 11% kepada RM31 juta dan RM36 juta.

 

Sehubungan itu, firma penyelidikan mengekalkan saranan "Outperform" terhadap saham Kee Ming dengan menaikkan harga sasaran kepada RM2.00 sesaham berbanding RM1.80 sebelum ini, berdasarkan gandaan 18 kali pendapatan sesaham (EPS) unjuran TK2028.

 

Sementara itu Maybank Investment Bank (Maybank IB) turut menaikkan unjuran pendapatan FY27-29 Kee Ming sebanyak 18%-29% berikutan jangkaan momentum perolehan kontrak yang lebih kukuh pada masa hadapan.

 

Susulan pelarasan pendapatan tersebut, firma itu kami menaikkan harga sasaran kepada RM1.94 daripada RM1.36, berdasarkan penilaian P/E CY27E yang lebih tinggi pada 17 kali (+1.5 sisihan piawai berbanding purata sektor M&E), berbanding 15 kali sebelum ini (+1 sisihan piawai).

 

"Penilaian tersirat kami kini lebih hampir kepada purata P/E tiga tahun MN Holdings, bagi mencerminkan prospek Kee Ming untuk mengembangkan penglibatan dalam projek infrastruktur kuasa voltan tinggi (HV) serta pencawang pusat data (DC), yang menawarkan profil pendapatan dan pertumbuhan yang hampir sama dengan MN Holdings," katanya. - DagangNews.com