Ketidakpastian politik akibat sentimen PRU16 tekan sektor perbankan, TA Securities turunkan taraf kepada 'neutral' | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ketidakpastian politik akibat sentimen PRU16 tekan sektor perbankan, TA Securities turunkan taraf kepada 'neutral'

Gambar hiasan. - Foto BERNAMA
Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 25 Jun — Spekulasi tarikh Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) mencetuskan ketidaktentuan politik tempatan dijangka memberi tekanan terhadap penilaian sektor perbankan dalam masa terdekat.

 

Menurut analisis TA Securities, saham-saham syarikat berkenaan turut terdedah luas kepada potensi aliran keluar dana asing disebabkan pengaruh kuat politik tanah air di samping konflik di rantau Timur Tengah.

 

Selain itu, pertumbuhan pinjaman semakin sederhana, persaingan sengit bagi deposit dan kebimbangan terhadap kualiti aset susulan tekanan inflasi turut menjadi cabaran utama kepada sektor tersebut.

 

"Justeru kami menurunkan penarafan daripada 'overweight' kepada 'neutral' bukan kerana kelemahan asas sektor, tetapi risiko disebabkan penyusutan penilaian saham ketika pilihan raya umum (PRU)," katanya.

 

TA Securities berkata, bank-bank tempatan sering bertindak sebagai proksi kepada sentimen ekonomi dan politik memandangkan sektor berkenaan mewakili kira-kira satu pertiga permodalan pasaran.

 

Sektor tersebut ujarnya, turut menjadi pegangan utama pelabur institusi tempatan dan asing, dengan data sejarah menunjukkan pelabur asing kelazimannya meningkatkan pegangan menjelang PRU itu.

 

Bagaimanapun tambah firma penyelidikan berkenaan, kelompok tersebut juga kebiasaannya bertindak mengurangkan pendedahan sebaik sahaja ketidaktentuan politik memuncak selepas hari pengundian.

 

sektor perbankan_DagangNews2026

 

"Corak ini dapat dilihat dalam PRU13, PRU14 dan PRU15, apabila aliran keluar dana asing berlaku selepas keputusan diumumkan tanpa mengira parti manakah yang mendapat mandat," jelas TA Securities.

 

Bagaimanapun, ia berpandangan landskap politik semasa lebih menyerupai situasi PRU15 berikutan persaingan pelbagai parti dan blok lebih dinamik serta ketiadaan gabungan dominan yang jelas.

 

Namun, berbeza dengan PRU15 yang disokong oleh persekitaran kadar faedah naik dan margin faedah bersih (NIM) yang lebih kukuh, sektor perbankan kini berdepan persekitaran makro kurang positif.

 

Pertumbuhan hasil bank kata TA Securities, turut dijangka perlahan, dan pegangan pelabur asing dalam saham perbankan mungkin memuncak awal berbanding PRU terdahulu sebelum menyusut semula.

 

"Bank-bank besar seperti Maybank dan CIMB yang ada pegangan asing tinggi dijangka lebih sensitif kepada perubahan aliran dana asing, manakala nasib bank-bank bersaiz sederhana adalah berbeza," katanya.

 

Antaranya tambah firma penyelidikan berkenaan, seperti Ambank dan RHB Bank yang juga berpotensi berdepan dengan tekanan jualan sekiranya ketidaktentuan politik tanah air terus meningkat tinggi.

 

Dalam keadaan tersebut, TA Securities terus memilih Public Bank sebagai saham pilihan utama sektor kerana rekod prestasi terbukti sepanjang beberapa kitaran PRU sebelum ini. - DagangNews.com