Kos operasi kapal lebih tinggi punca untung bersih Yinson susut 41% kepada RM148 juta bagi 1QFY27 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kos operasi kapal lebih tinggi punca untung bersih Yinson susut 41% kepada RM148 juta bagi 1QFY27

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 25 JunYinson Holdings Berhad mencatatkan keuntungan bersih lebih rendah sebanyak RM148 juta bagi suku pertama berakhir 30 April 2026 (1QFY27) susut 41% berbanding suku sebelumnya.

 

Menurut makluman kumpulan tersebut kepada Bursa Malaysia, perkembangan itu berikutan peningkatan kos operasi untuk beberapa kapal jenis pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan terapung (FPSO).

 

Selain itu, ketiadaan pendapatan sekali sahaja yang diiktiraf serta sumbangan rendah daripada syarikat usaha sama (JV) dan syarikat bersekutu turut menjejaskan prestasi suku semasa kumpulan.

 

"Yinson namun mencatat keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) sebanyak RM120 juta, yang secara keseluruhan kekal stabil berbanding tempoh sama tahun lalu," jelas kumpulan itu.

 

Hasil bagi 1QFY27 susut 15% kepada RM1.05 bilion berbanding RM1.24 bilion setahun sebelum ini, susulan tiada aktiviti kejuruteraan, perolehan, pembinaan, pemasangan dan pentauliahan (EPCIC).

 

Bagaimanapun ujar syarikat berkenaan, penurunan itu sebahagiannya dapat diimbangi oleh sumbangan menerusi aset operasi baharu selepas FPSO Agogo dapat memulakan tempoh pajakan pada 12 Ogos 2025.

 

Yinson_DagangNews2026

 

Di samping itu tambah Yinson, kumpulan merekodkan peningkatan 5% dalam margin kasar kepada RM611 juta berbanding RM583 juta pada suku sama tahun sebelumnya, didorong faktor operasi yang sama.

 

"Syarikat mencatat aliran tunai bersih daripada aktiviti operasi lebih kukuh sebanyak RM689 juta, mencerminkan daya tahan kewangan disokong oleh armada FPSO yang kini beroperasi penuh," tambahnya.

 

Lembaga pengarah turut mengisytiharkan dividen interim suku tahunan sebanyak 2 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2027, membabitkan pembayaran keseluruhan kira-kira RM58 juta.

 

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Yinson, Lim Han Weng berkata, prestasi stabil yang dicapai disokong oleh pendapatan kontrak jangka panjang, dan armada yang beroperasi sepenuhnya.

 

Jelas beliau, platform perniagaan kumpulan berkenaan yang lebih pelbagai merangkumi pengeluaran luar pesisir, tenaga boleh diperbaharui (RE) dan teknologi hijau turut menyokong pertumbuhannya.

 

"Yinson Production dan rakan JV PetroVietnam Technical Services Corporation (PTSC) turut memulakan fasa pembinaan projek FSO Blok B, dan berpeluang meraikan penamaan FSO PTSC Lac Da Vang," katanya.

 

Pada masa yang sama ujar Han Weng, Yinson GreenTech memperkenalkan 300 van komersial elektrik Maxus eDeliver 5 ke pasaran tempatan berikutan kerjasama dengan Weststar Maxus dan SAIC Maxus.

 

Perkembangan positif sepanjang suku itu tambahnya, sekali gus mempercepatkan penggunaan kenderaan elektrik (EV) dalam sektor logistik dan pengangkutan komersial negara. - DagangNews.com