KUALA LUMPUR 25 Jun - Mah Sing Group Bhd memulakan tahun kewangan 2026 dengan momentum yang positif apabila merekodkan jualan hartanah sebanyak RM978 juta dalam tempoh lima bulan pertama, disokong oleh permintaan berterusan terhadap projek-projek pembangunan kumpulan itu.
Prestasi tersebut meletakkan pemaju hartanah berkenaan di landasan yang tepat untuk mencapai sasaran jualan tahunan RM2.76 bilion, dibantu oleh saluran pelancaran projek yang lebih besar bagi baki tahun ini.
Mah Sing berkata, pelancaran akan datang melibatkan beberapa projek utama di wilayah Tengah, Selatan dan Utara termasuk M Mira di Setapak, M Hana di Puchong, M Cora dan M Amaya di Pulau Pinang serta M Tiara 2 dan MS Industrial Park @ Kulai di Johor.
Selain itu, kumpulan itu turut merancang pelancaran fasa baharu bagi projek sedia ada seperti M Legasi di Semenyih, M Sinar Tower B di Southville City, Bangi, M Grand Minori dan Meridin East di Johor.
Dalam usaha memperkukuh pertumbuhan jangka panjang, Mah Sing terus mengembangkan bank tanahnya menerusi pemerolehan enam lot strategik sepanjang 2025 yang mempunyai anggaran Nilai Pembangunan Kasar (GDV) berjumlah RM6.4 bilion.
Antara pemangkin pertumbuhan utama ialah pembangunan MS Industrial Park @ Kulai seluas 419.17 ekar yang mempunyai GDV dianggarkan RM2.26 bilion dan akan dibangunkan bersama KLK Land.
"Terletak dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), projek tersebut dijadualkan dilancarkan pada separuh kedua 2026 dan dijangka mendapat manfaat daripada peningkatan permintaan dalam sektor perindustrian, logistik, pembuatan maju serta industri berkaitan pusat data," kata kumpulan itu dalam kenyataan sempena Mesyuarat Agung Tahunan kali Ke-34 hari ini.
Infrastruktur Digital
Mah Sing turut melihat potensi besar dalam sektor infrastruktur digital dan kecerdasan buatan (AI) apabila mengenal pasti beberapa tapak strategik di Southville City, Meridin East dan MS Industrial Park @ Kulai untuk pembangunan berkaitan pusat data.
Menurut kumpulan itu, aset-aset tersebut menawarkan fleksibiliti untuk diterokai menerusi pelbagai model perniagaan termasuk penjualan tanah, pajakan, bina dan pajak (build-to-lease) serta kerjasama strategik yang berpotensi membuka nilai baharu kepada syarikat.
Pada masa sama, kedudukan kewangan yang kukuh terus menjadi antara kelebihan kompetitif utama Mah Sing.
Sehingga 31 Mac 2026, kumpulan itu memiliki kira-kira RM1 bilion dalam bentuk tunai, baki bank dan pelaburan dana jangka pendek, dengan nisbah gearan bersih yang rendah pada 0.39 kali.
Mah Sing juga menjangkakan menerima lebih RM430 juta dana penyerahan milikan kosong dalam beberapa bulan akan datang, yang akan terus mengukuhkan kunci kira-kira dan meningkatkan fleksibiliti kewangannya.
Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing, Leong Hoy Kum berkata, prestasi kukuh syarikat mencerminkan kejayaan strategi yang memberi tumpuan kepada segmen pasaran yang berdaya tahan, disiplin kewangan serta pembangunan pelbagai enjin pertumbuhan untuk mencipta nilai mampan kepada pemegang saham.
Menurut beliau, selain jualan hartanah, Mah Sing turut memperkukuh asas pendapatan masa depan melalui pemerolehan tanah strategik, pembangunan dalam JS-SEZ, projek premium, peluang berkaitan pusat data dan penambahbaikan perniagaan pembuatan.
"Inisiatif ini meletakkan Mah Sing pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan pertumbuhan ekonomi Malaysia, urbanisasi dan peningkatan aliran pelaburan pada masa hadapan," katanya. - DagangNews.com







