KUALA LUMPUR 25 Jun - Kerajaan bersetuju memberikan kuasa dan peranan rasmi kepada Parlimen dalam proses pelantikan Pendakwa Raya seperti yang disyorkan oleh sebuah jawatankuasa Parlimen.
Parlimen akan menentukan prosedur bagi melaksanakan peranannya dalam proses pelantikan tersebut mengikut undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
Dari segi pelaksanaan, mekanisme penglibatan Parlimen akan dilakukan menerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang akan ditubuhkan bagi meneliti senarai calon untuk jawatan Pendakwa Raya.
Kenyataan itu menyusul selepas beberapa syor dikemukakan oleh jawatankuasa khas yang meneliti usaha memisahkan fungsi berganda Peguam Negara dan Pendakwa Raya, termasuk cadangan supaya calon bagi jawatan tersebut dibentangkan kepada Parlimen.
Sebelum ini, sekumpulan ahli Parlimen penyokong kerajaan yang diketuai Wong Chen (PH-Subang) berpendapat rang undang-undang yang dicadangkan dalam bentuk semasanya masih belum memadai untuk menjamin pengawasan yang berkesan kerana Parlimen hanya diberikan peranan menerima makluman dan mengemukakan pandangan yang tidak mengikat.
ARTIKEL BERKAITAN: C4 bimbang campur tangan politik masih boleh berlaku walaupun AG dan Pendakwa Raya dipisahkan
Perkukuh Akauntabiliti dan Semak Imbang
Menurut Azalina, pemberian peranan kepada Parlimen dalam proses pelantikan Pendakwa Raya akan memperkukuh akauntabiliti serta mekanisme semak dan imbang institusi, di samping menghormati sepenuhnya Perlembagaan Persekutuan, kedudukan Yang di-Pertuan Agong dan struktur pentadbiran asas negara.
“Memberikan peranan kepada Parlimen dalam proses pelantikan mengukuhkan akauntabiliti dan semak imbang institusi, sambil menghormati sepenuhnya Perlembagaan Persekutuan, kedudukan Yang di-Pertuan Agong dan struktur pentadbiran asas negara,” katanya.
Beliau menjelaskan, selepas Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan memaklumkan senarai calon, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang baharu akan mengemukakan ulasan, termasuk penilaian dan syor sama ada calon berkenaan wajar diperakukan atau sebaliknya.
Katanya, sebarang isu berkaitan kerahsiaan calon akan ditentukan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen berdasarkan undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa.
Seru Sokongan Rentas Parti
Azalina turut menyeru semua ahli Parlimen daripada pihak kerajaan dan pembangkang supaya bersama-sama menyokong usaha reformasi institusi tersebut.
“Saya berharap semua ahli Parlimen daripada pihak kerajaan dan pembangkang dapat berganding bahu dalam menyokong usaha reformasi institusi ini.
“Reformasi ini bukan mengenai mana-mana parti tertentu, tetapi demi kepentingan negara,” katanya. - DagangNews.com








