C4 bimbang campur tangan politik masih boleh berlaku walaupun AG dan Pendakwa Raya dipisahkan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

C4 bimbang campur tangan politik masih boleh berlaku walaupun AG dan Pendakwa Raya dipisahkan

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 25 Jun - Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4 Center) menggesa kerajaan supaya tidak meluluskan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 2026 dalam bentuk semasanya kerana masih gagal menjamin kebebasan sebenar jawatan Pendakwa Raya daripada campur tangan pihak Eksekutif.

 

Badan tersebut berkata, walaupun langkah pemisahan jawatan Peguam Negara (AG) dan Pendakwa Raya (PP) merupakan perkembangan positif, ia masih belum mencukupi untuk memastikan institusi pendakwaan benar-benar bebas daripada pengaruh politik.

 

Dalam kenyataan berhubung laporan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) terhadap Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 2026, C4 Center menegaskan reformasi tersebut perlu dilaksanakan pada tahap tertinggi bagi memastikan ia menjadi satu langkah ke hadapan dalam memperkukuh tadbir urus negara, bukan sebaliknya satu kemunduran.

 

Menurut C4 Center, fungsi utama Pendakwa Raya adalah mengarahkan pendakwaan terhadap mana-mana individu yang disyaki melakukan jenayah, justeru jawatan itu perlu bebas sepenuhnya daripada pengaruh luar bagi memastikan keadilan dan integriti sistem perundangan.

 

Sebaliknya, Peguam Negara berperanan sebagai penasihat undang-undang kepada kerajaan atau pihak Eksekutif. Katanya, apabila kedua-dua peranan itu digalas oleh individu yang sama, ia mewujudkan risiko konflik kepentingan yang ketara, khususnya apabila melibatkan kes terhadap anggota kerajaan sendiri.

 

Perlu pemisahan jelas AG dan PP bagi elak konflik kepentingan

C4 Center menegaskan, penyelesaian kepada isu tersebut memerlukan pemisahan institusi Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta dipegang oleh dua individu berbeza.

 

Selain itu, memandangkan Pendakwa Raya memainkan peranan penting dalam memastikan akauntabiliti dan keadilan awam, pelantikannya perlu melibatkan pengawasan Parlimen yang bermakna sebagai wakil rakyat yang dipilih.

 

C4 Center turut menegaskan pengawasan Parlimen perlu merangkumi aspek pelantikan, pemecatan, prosiding tatatertib serta kewajipan pelaporan berkala berkaitan fungsi Pendakwa Raya.

 

Struktur JLSC masih beri ruang pengaruh Eksekutif

Mengulas cadangan PSSC, C4 Center berkata pelantikan Pendakwa Raya melalui nasihat Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (JLSC) kepada Yang di-Pertuan Agong masih tidak mencukupi untuk menjamin kebebasan institusi tersebut.

 

JLSC yang dicadangkan terdiri daripada Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Malaya, Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak, Peguam Negara (sekiranya bukan Ahli Parlimen), Pendakwa Raya, Peguam Cara Negara serta seorang ahli yang dilantik Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Ketua Hakim Negara.

 

C4 Center menyatakan, walaupun pelantikan tidak lagi berada di bawah kuasa Perdana Menteri, struktur itu masih memberi ruang besar kepada pengaruh Eksekutif kerana majoriti ahli JLSC masih datang daripada mekanisme pelantikan kerajaan.

 

Peranan Parlimen hanya bersifat makluman dan komen

C4 Center turut mempersoalkan peranan Parlimen yang disifatkan terlalu terhad dalam proses pelantikan tersebut.

 

Menurut C4 Center, berdasarkan Fasal 145A(18), JLSC hanya perlu memaklumkan kepada Parlimen mengenai cadangan calon, manakala Parlimen hanya boleh memberikan komen terhadap senarai calon yang dikemukakan.

 

Namun, tiada sebarang peruntukan yang mewajibkan mana-mana pihak untuk mengambil kira pandangan atau bantahan Ahli Parlimen sebelum keputusan muktamad dibuat.

 

“Penglibatan Parlimen hanyalah bersifat permukaan kerana ia tidak memberi kesan mengikat terhadap pemilihan Pendakwa Raya,” kata C4 Center.

 

C4 Center menambah, penggunaan istilah “may” dalam peruntukan tersebut menunjukkan bahawa input Parlimen adalah tidak wajib dan boleh diabaikan oleh JLSC, sekali gus menjadikan Parlimen sekadar pemerhati dalam proses tersebut.

 

Cadangan C4 Center: Parlimen perlu diberi kuasa substantif

Sehubungan itu, C4 Center menggesa supaya Parlimen diberikan peranan yang lebih bermakna dalam proses pelantikan Pendakwa Raya.

 

Ini termasuk senarai calon dibentangkan terlebih dahulu kepada Parlimen untuk penelitian, diikuti proses saringan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen melalui semakan latar belakang dan temu duga jika perlu.

 

Hasil penilaian itu perlu dibentangkan di Dewan Rakyat untuk perbahasan terbuka sebelum satu calon dimuktamadkan untuk diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.

 

C4 Center berkata, tanpa pembaharuan tersebut, pelaksanaan pindaan berkenaan berisiko menjadi perubahan kosmetik yang gagal memperkukuh kebebasan institusi pendakwaan negara dan sukar diperbetulkan pada masa hadapan. — DagangNews.com