RHB Research: Perubahan polisi kerajaan dan tekanan inflasi dikhuatiri ancam sektor penjagaan kesihatan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

RHB Research: Perubahan polisi kerajaan dan tekanan inflasi dikhuatiri ancam sektor penjagaan kesihatan

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 25 Jun — Ketidaktentuan dasar kerajaan serta risiko perubahan peraturan kesihatan menjadi isu utama yang membayangi prospek sektor penjagaan kesihatan, kata RHB Research.

 

Ujarnya, syarikat-syarikat dalam industri itu berdepan persekitaran ekonomi yang semakin mencabar disebabkan kelembapan jumlah pesakit, tekanan kos farmaseutikal dan perlindungan insurans swasta.

 

Perkembangan itu jelas firma penyelidikan tersebut, turut menimbulkan kebimbangan terhadap isu pertumbuhan pendapatan beberapa pemain utama sektor berkenaan, di tengah-tengah inflasi domestik.

 

"Kami namun mengekalkan penarafan 'overweight' terhadap sektor penjagaan kesihatan, dipacu sifat permintaan perkhidmatan perubatan yang tidak anjal dan terus defensif," tambah RHB Research lagi.

 

Katanya, keputusan kewangan suku pertama 2026 secara keseluruhan adalah sejajar dengan jangkaan, dengan satu syarikat mencatat prestasi melebihi unjuran manakala tiga memenuhi sasaran pasaran.

 

Ia menjangka momentum pertumbuhan hasil bertambah baik pada suku-suku berikut dengan mengekalkan KPJ Healthcare Berhad, LAC Medical Group Berhad dan Duopharma Biotech Berhad sebagai pilihan.

 

sektor penjagaan kesihatan_DagangNews2026

 

Menurut RHB Research, kelemahan prestasi pada suku pertama disebabkan faktor bermusim berikutan Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri, sekali gus menjejaskan kadar penghunian hospital.

 

"Berdasarkan operasi domestik melibatkan KPJ, IHH Healthcare Berhad, dan Sunway Healthcare Berhad, hasil naik 11% tahun ke tahun (YoY), disokong pertumbuhan kemasukan pesakit sebanyak 2%," katanya.

 

Margin kasar sektor kembali normal kepada 23.3% berbanding 27.4% pada suku sebelumnya, namun masih meningkat 0.8 mata peratusan berbanding tahun lalu, mencerminkan disiplin kos secara berterusan.

 

RHB Research berkata, KPJ kekal pilihan utama berikutan rekod pelaksanaan, model perniagaan boleh diperluaskan serta potensi jangka panjang susulan pengoptimuman operasi dan penambahan katil.

 

Bagi IHH Healthcare pula, firma itu masih berhati-hati terhadap prospek perniagaan di Singapura susulan perubahan perlindungan insurans swasta yang menyebabkan pesakit pergi ke hospital awam.

 

"Sementara LAC Medical dijangka meraih manfaat peningkatan pendapatan berulang, manakala Duopharma Biotech terus kukuh meskipun berdepan ketidaktentuan berkaitan tender ubat kerajaan," jelasnya.

 

Walaupun sektor ini tidak terlepas daripada risiko kos operasi, pertumbuhan pesakit perlahan dan perubahan peraturan, RHB Research melihat penyusutan harga sebagai peluang yang menarik. - DagangNews.com