KUALA LUMPUR 25 Jun - BIMB Securities mengekalkan saranan “beli” terhadap MISC Bhd dengan harga sasaran tidak berubah pada RM9.80 sesaham meskipun kadar tambang perkapalan dijangka berdepan sedikit tekanan susulan kemungkinan normalisasi aliran perdagangan minyak dari Timur Tengah.
Firma penyelidikan itu berkata, perubahan dalam aliran perdagangan tersebut berpotensi menyebabkan kadar tambang perkapalan menyederhana, khususnya bagi kapal pengangkut minyak mentah sangat besar (VLCC).
Bagaimanapun, pengurusan MISC berpandangan kesan itu boleh diimbangi oleh peningkatan aktiviti penambahan semula inventori minyak global, terutama dalam kalangan negara pengguna utama seperti China.
Menurut BIMB Securities, pengurangan inventori yang berlaku ketika gangguan bekalan minyak baru-baru ini dijangka mendorong syarikat dan negara pengguna untuk meningkatkan semula paras simpanan mereka.
"Pemulihan aktiviti pembinaan semula stok minyak berpotensi mewujudkan permintaan tambahan bagi perkhidmatan kapal tangki minyak, sekali gus membantu menyokong kadar sewaan dan aktiviti perkapalan global," katanya dalam nota penyelidikan.
Firma itu berkata, faktor tersebut dijangka menjadi pemacu penting kepada permintaan tan-batu (tonne-mile), iaitu ukuran utama yang menentukan pendapatan pengendali kapal tangki minyak.
Dalam jangka sederhana, BIMB Securities percaya kedudukan MISC kekal kukuh untuk memanfaatkan sebarang peningkatan dalam aktiviti perdagangan minyak global berikutan keupayaannya mengimbangi portfolio kontrak jangka panjang dan pendedahan kepada pasaran spot.
Menurutnya, anak syarikat MISC, AET, berada pada kedudukan strategik untuk memanfaatkan trend tersebut memandangkan syarikat itu merupakan peneraju dalam segmen kapal tangki khusus yang memerlukan kepakaran teknikal tinggi dan pengalaman operasi yang mendalam.
"AET memberi tumpuan kepada perkhidmatan perkapalan khusus seperti operasi pemindahan minyak antara kapal (ship-to-ship) dan kapal tangki ulang-alik (shuttle tanker) yang digunakan untuk mengangkut minyak mentah dari medan luar pesisir ke terminal eksport," katanya
Sehubungan itu, firma penyelidikan tersebut mengekalkan pandangan positif terhadap prospek MISC dan mengulangi saranan “beli” dengan harga sasaran RM9.80 sesaham. - DagangNews.com








