KUALA LUMPUR 25 Jun — Pembukaan semula Selat Hormuz susulan gencatan senjata dijangka memberi tekanan baharu kepada PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG), menurut analisis TA Securities.
Tambah firma penyelidikan tersebut, penutupan laluan perairan itu selama lebih tiga bulan menjadi faktor utama yang menyokong kenaikan tinggi harga petrokimia antarabangsa sejak kebelakangan ini.
Selain berdepan lebihan bekalan global yang berterusan, syarikat itu dijangka berdepan penyusutan margin bermula tahun kewangan 2027 apabila eksport dari pasaran rantau Timur Tengah kembali pulih.
"Justeru, kami menurunkan saranan terhadap PCG daripada 'beli' kepada 'jual', serta menurunkan harga sasaran (TP) kepada RM4.32 sesaham berbanding RM6.56 sebelum ini," kata TA Securities lagi.
Ujarnya, gangguan penghantaran melalui Selat Hormuz ketika konflik Amerika Syarikat (AS) dengan Iran sebelum ini mencetuskan kebimbangan terhadap bekalan dan melonjakkan harga produk petrokimia.
Namun, susulan gencatan senjata sementara, sentimen pasaran beralih kepada jangkaan pemulihan aktiviti perkapalan dan eksport dari Timur Tengah, dengan laluan strategik itu kembali aktif beroperasi.

Jelas TA Securities, apabila isu logistik dan eksport kembali normal, harga serta margin produk petrokimia akan naik ke paras sebelum konflik, yang menghapuskan faktor sokongan utama kepada PCG.
"Walaupun harga petrokimia mungkin kekal disebabkan kerja-kerja pemulihan infrastruktur, kenaikan luar biasa yang direkodkan pada April dan Mei 2026 lalu dijangka tidak akan berulang," tambahnya.
Menurut firma itu, cabaran lebihan bekalan global masih belum selesai dengan China akan menambah kapasiti pengeluaran sebanyak 6.2 juta tan polietilena (PE) dan 4.6 juta tan polipropilena (PP).
Bagi segmen baja, harga urea susut 50% daripada paras tertinggi pada April susulan kebimbangan terhadap gangguan eksport semakin reda, selain China dijangka mencatat pengeluaran 76.5 juta tan.
Bagaimanapun, TA Securities berpandangan PCG masih mampu mengekalkan keuntungan sepanjang FY26 disokong bekalan serantau masih kurang berikutan beberapa kemudahan pengeluaran yang terjejas.
"Prospek sektor kekal berhati-hati, dan penilaian semula saham syarikat berpotensi meningkatkan kualiti pendapatan dan mengoptimumkan operasi kompleks bersepadu Pengerang," katanya. - DagangNews.com








