KUALA LUMPUR 25 Jun - Audit forensik bebas ke atas projek Battersea Power Station di London mendapati dakwaan berhubung penilaian `terlebih nilai' adalah tidak berasas, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Reaksi kerajaan itu merujuk kepada projek pembangunan semula Battersea Power Station di London susulan kebimbangan yang dibangkitkan oleh bekas CEO Donagh O’Sullivan berhubung pelaporan kewangan projek tersebut serta potensi kesan terhadap nilai saksama pelaburan yang dipegang oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB).
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Battersea Project Holding Company telah melantik juruaudit forensik bebas Evelyn Partners untuk meneliti isu yang dibangkitkan mengenai penyata kewangan projek tersebut.
“Dua laporan forensik menyimpulkan bahawa dakwaan itu tidak berasas, justeru tidak perlu sebarang siasatan lanjut,” katanya dalam jawapan bertulis Parlimen hari ini.
Beliau menambah, semakan itu turut mendapati amalan perakaunan syarikat mematuhi piawaian perakaunan antarabangsa.
Akaun syarikat juga telah diaudit serta disahkan oleh PwC, salah satu firma perakaunan Big Four di dunia.
TIADA PINDAAN NILAI PELABURAN UNTUK TAHUN KEWANGAN 2025
“Selaras dengan penemuan juruaudit forensik dan kerja yang dilaksanakan oleh PwC sebagai juruaudit syarikat, tiada pelarasan dibuat terhadap penilaian pelaburan akibat dakwaan tersebut bagi tahun kewangan 2025,” katanya.
Beliau menambah, prestasi serta penilaian pelaburan akan terus dipantau secara berkala selaras dengan amalan tadbir urus dan piawaian pelaporan kewangan.
Anwar berkata demikian sebagai menjawab soalan Yeo Bee Yin (PH-Puchong) yang meminta penjelasan sama ada juruaudit forensik bebas telah dilantik untuk menyiasat kesahihan laporan kewangan projek Battersea Power Station susulan dakwaan berkenaan, serta sama ada isu itu menjejaskan nilai saksama pelaburan KWSP dan PNB. - DagangNews.com








