KUALA LUMPUR 25 Jun - Kekurangan bekalan mentah khususnya resin dijangka terus memberi tekanan kepada margin keuntungan VS Industry Bhd meskipun syarikat itu menunjukkan tanda-tanda awal pemulihan operasi didorong oleh peningkatan tempahan dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
CIMB Securities berkata, kekangan bekalan bahan mentah tersebut menjadi antara faktor utama yang mendorong firma penyelidikan itu mengambil pendekatan berhati-hati terhadap prospek syarikat pengeluar perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) berkenaan.
Menurutnya, selain kekurangan resin, VS Industry turut berdepan cabaran industri yang berterusan termasuk ketidaktentuan tarif perdagangan global serta pelancaran model produk baharu yang berpotensi meningkatkan tekanan operasi.
"Walaupun terdapat potensi peningkatan pendapatan dalam beberapa suku akan datang, kami kekal berhati-hati kerana kekurangan bahan mentah dan cabaran struktur industri boleh menjejaskan keuntungan syarikat," katanya dalam nota penyelidikan.
Firma itu berkata, purata hasil bulanan VS Industry dijangka meningkat sekurang-kurangnya 20% bagi tempoh April hingga September 2026 berbanding Januari hingga Mac 2026.
Momentum tersebut didorong oleh peningkatan tempahan menjelang suku yang secara tradisinya lebih kukuh, memandangkan aktiviti pengisian semula tempahan pelanggan lazimnya bermula pada April setiap tahun.
Bagaimanapun, CIMB Securities berkata gangguan bekalan resin boleh mengekang keupayaan syarikat meningkatkan pengeluaran dan seterusnya memberi kesan kepada margin keuntungan walaupun permintaan pelanggan bertambah baik.
Pada masa sama, VS Industry dijangka merekodkan rosot nilai aset pada suku keempat tahun kewangan berakhir Julai 2026 melibatkan bahagian getah silikon cecair (LSR) susulan kadar penggunaan yang rendah.
Menurut firma penyelidikan itu, langkah tersebut dijangka memberi kesan sementara kepada keuntungan, namun berpotensi memperbaiki prestasi kewangan selepas aset berkenaan disusut nilai sepenuhnya.
Sementara itu, operasi VS Industry di Filipina terus menunjukkan perkembangan positif apabila momentum tempahan semakin kukuh hasil peningkatan pengeluaran bagi model kedua produk penjagaan lantai.
Perkembangan itu disokong oleh kejayaan menyiapkan proses pembuatan acuan yang diperlukan untuk aktiviti pemasangan bagi pelanggan utama syarikat.
Walaupun prospek pemulihan pendapatan semakin ketara, CIMB Securities tidak membuat sebarang perubahan terhadap unjuran kewangannya dan mengekalkan saranan "pegang" terhadap VS Industry dengan harga sasaran tidak berubah pada 21 sen sesaham. - DagangNews.com








