KUALA LUMPUR 20 Nov - Pengenalan lebih banyak perkhidmatan inovatif menerusi platform Zetrix mampu menjadi pemacu pertumbuhan kumpulan pada suku mendatang, kata penganalisis.
MBSB Research berkata, ini dapat dilihat melalui pelancaran terbaharu China-Asean AI Lab yang memberi tumpuan kepada konvergensi Blockchain, AI dan Robotik.
Katanya, dalam bidang robotik, terdapat juga peluang spin-off yang boleh membuka lebih banyak nilai untuk kumpulan.
Firma itu menambah, selain itu sumbangan daripada penyediaan perkhidmatan e-kerajaan kekal menjadi asas hasil yang stabil.
"Walaupun terdapat sedikit penyusutan dalam margin keuntungan, margin keuntungan kumpulan kekal sihat pada lebih 50%.
"Margin ini turut disokong oleh kadar cukai efektif yang rendah memandangkan perkhidmatan yang disediakan kumpulan layak menerima insentif cukai" katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Sehubungan itu firma berkenaan mengekalkan saranan BELI ke atas Zetrix dengan harga sasaran tidak berubah pada RM1.25 susulan pengumuman keputusan suku tahunan 3QFY25.
Zetrix melaporkan keuntungan 3QFY25 sebanyak RM220.4 juta. Namun, selepas melaraskan item luar biasa — majoritinya berkaitan keuntungan nilai saksama daripada pelaburan dalam HeiTech Padu Bhd hasil amalan mark-to-market — keuntungan normalisasi adalah lebih rendah pada RM200.6 juta.
Ini masih diterjemahkan kepada peningkatan +14.8% tahun ke tahun. Lonjakan ini dipacu oleh peningkatan hasil kepada RM341.6 juta (+37.7% yoy).
Namun, MBSB mengambil maklum peningkatan ketara dalam perbelanjaan operasi (+107.3% yoy) kepada RM95.5 juta, yang mengurangkan margin keuntungan kepada 58.7% daripada 70.4% pada 3QFY24.
Menurut MBSB, Zetrix memberitahu hasil yang tinggi didorong oleh sumbangan daripada yuran perkhidmatan aplikasi Web3 di platform blockchain Zetrix seperti infrastruktur Blockchain Malaysia, Ztrade, Zcert, aplikasi pengundian global dan pendaftaran serta transaksi Digital ID, dan sumbangan daripada jualan token Zetrix.
Secara kumulatif, keuntungan normalisasi 9MFY25 berjumlah RM610.5 juta, meningkat +21.6% yoy atas faktor yang dinyatakan.
Prestasi kewangan 9MFY25 berada dalam jangkaan kami dan konsensus, masing-masing mencapai 76.9% dan 75.6% daripada anggaran keuntungan penuh tahun FY25.
Sementara itu Maybank IB turut mengekalkan saranan BELI ke atas Zetrix dengan harga sasaran tidak berubah pada MYR1.66, bersandarkan 15 kali PER FY26E, sejajar dengan purata lima tahun ke hadapan.
Firma penyelidikan itu kekal optimis terhadap prospek Zetrix, didorong oleh pertumbuhan hasil yang kukuh serta inisiatif pendigitalan negara yang dijangka memberi manfaat berterusan kepada ekosistem blockchain perusahaan. - DagangNews.com








