Prestasi Tasco dijangka pulih semula 2HFY26, saranan Beli kekal - penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prestasi Tasco dijangka pulih semula 2HFY26, saranan Beli kekal - penganalisis

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 5 Nov – Prospek Tasco Bhd dijangka pulih secara berperingkat dengan prestasi lebih kukuh pada separuh kedua tahun kewangan 2026 (2HFY26), dipacu aktiviti bermusim lebih rancak, penyertaan pelanggan baharu dan pelaksanaan strategi mengutamakan pelanggan yang lebih menguntungkan, kata penganalisis.

 

Firma penyelidikan turut melihat langkah Tasco menstrukturkan semula asas pelanggannya sebagai pemacu peningkatan keuntungan operasi, meskipun berlaku penyusutan hasil dalam beberapa segmen utama.

 

Sehubungan itu, MBSB Research dan RHB Research masing-masing mengekalkan saranan BELI terhadap saham syarikat logistik itu. 

 

Namun kedua-dua firma menyemak sedikit turun harga sasaran bagi mencerminkan pelarasan terhadap unjuran pendapatan dan kadar cukai efektif baharu sekitar 20%. 

 

Walaupun unjuran diturunkan, kedua-dua firma itu kekal positif terhadap kemampuan Tasco melonjakkan margin dan pertumbuhan apabila projek baharu mula menyumbang kepada pendapatan syarikat.

 

MBSB Research: Pemacu gudang, pelanggan baharu sokong pemulihan

MBSB Research mengekalkan saranan BELI dengan harga sasaran lebih rendah pada RM0.64 daripada RM0.65 sebelum ini, bersandarkan 11 kali unjuran pendapatan FY27 — sejajar purata sejarah lima tahun.

 

Firma itu berkata, segmen penghantaran udara dan laut, yang merangkumi 38% hasil kumpulan, susut dalam suku kedua FY26 berikutan kadar tambang yang lebih rendah serta keputusan pengurusan untuk tidak membida akaun FMCG utama berkaitan tembakau. 

 

t

 

Dalam tempoh berkenaan, kadar penghantaran udara merosot 5.8% tahun ke tahun dan kadar laut susut 56.7%, mendorong pelanggan memilih kontrak jangka panjang sehingga 12 bulan.

 

Segmen logistik kontrak kekal sebagai pemacu utama dengan kapasiti gudang dijangka mencapai penggunaan penuh menjelang akhir tahun kewangan, didorong pelanggan baharu yang dijadual mula menyumbang mulai suku keempat FY26. 

 

Gudang baharu seluas 700,000 kaki persegi dijangka siap pertengahan 2026, manakala separuh daripada ruang gudang baharu di Northport telah mendapat komitmen pelanggan sedia ada dalam sektor E&E. 

 

MBSB turut menyatakan operasi darat menunjukkan prospek stabil dengan kemasukan pelanggan industri sarung tangan.

 

MBSB menyemak turun unjuran pendapatan Tasco sebanyak 2% bagi FY26–FY28 selepas menaikkan andaian kadar cukai efektif kepada 20% daripada 18%.

 

RHB Research: Fokus akaun margin tinggi mula mendatangkan hasil, insentif ILS bantu margin

RHB Research pula mengekalkan saranan BELI dengan sasaran harga pada RM0.70 (sebelum ini RM0.75) selepas semakan turun unjuran pendapatan FY26F–FY28F sebanyak 5.9%, 7.7% dan 6.6%.

 

Firma itu berkata, strategi Tasco menamatkan perkhidmatan pelanggan margin rendah telah mula menunjukkan hasil apabila segmen penghantaran udara mencatat kenaikan keuntungan sebelum cukai meskipun hasil merosot.

 

Segmen logistik kontrak turut melonjakkan prestasi dengan margin bertambah kukuh, manakala rantaian sejuk dijangka pulih secara beransur selepas memperoleh pelanggan gantian.

 

RHB turut menarik perhatian kepada insentif Integrated Logistics Services (ILS) dengan baki kredit cukai belum digunakan sekitar RM33.4 juta untuk tempoh lapan tahun akan datang — faktor yang akan terus menyokong margin bersih syarikat.

 

RHB menjangkakan Tasco terus meraih manfaat daripada diversifikasi pelanggan termasuk dalam sektor F&B, fesyen, semikonduktor dan logistik sejuk. - DagangNews.com