Prestasi MSM mulai pulih pada 3QFY25, MBSB Research naik taraf saranan kepada Neutral | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prestasi MSM mulai pulih pada 3QFY25, MBSB Research naik taraf saranan kepada Neutral

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 1 Dis – MSM Malaysia Holdings Berhad dijangka terus pulih dengan pelaksanaan strategi baharu termasuk fokus pada produk bernilai tambah tinggi dan pengurusan pelanggan lebih selektif, kata MBSB Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata, MSM mencatat prestasi kewangan suku ketiga tahun kewangan berakhir Disember 2025 (3QFY25) yang semakin baik dengan kerugian bersih mengecil kepada RM4.6 juta, meningkat 84.5% berbanding suku sebelumnya dan 90.8% berbanding tahun lepas.

 

Berikutan prestasi suku ketiga yang positif, MBSB Research menyemak semula unjuran keuntungan MSM bagi FY25 hingga FY27 kepada RM34.0 juta, RM37.6 juta, dan RM41.8 juta.

 

“Melihat kepada prospek MSM yang semakin konstruktif, kami menaikkan saranan kepada Neutral (sebelum ini Jual) dengan harga sasaran baharu RM1.01 (sebelum ini RM0.71), berikutan pendekatan penilaian yang telah disemak. 

 

“Harga sasaran disandarkan kepada 0.45x P/BV hampir dengan purata sejarah lima tahun berdasarkan nilai buku sesaham FY26 sebanyak RM2.20. 

 

“Kami berpandangan kaedah penilaian berasaskan aset adalah lebih sesuai memandangkan ketidaktentuan keuntungan akibat turun naik harga NY11,” kata MBSB Research dalam nota kajiannya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: MSM mulai pulih, kerugian pada 3QFY2025 susut kepada RM4.6 juta

 

Bagi tempoh sembilan bulan pertama FY25, kerugian bersih MSM mengecil kepada RM30.6 juta, bertambah baik sebanyak 24.3% berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.

 

Peningkatan prestasi ini disokong oleh kos pengeluaran yang lebih rendah, kerugian tukaran asing yang lebih kecil, serta pelarasan strategi melt bulanan dan pemposisian semula asas pelanggan.

 

MBSB Research berkata, prestasi 9MFY25 MSM adalah lebih baik berbanding jangkaan pihaknya dan pasaran. 

 

“Walaupun sentimen positif, volum jualan susut -4.1% yoy disebabkan pengambilan yang lebih perlahan secara keseluruhan. Hasil merosot kepada RM745 juta (-13.1% yoy), disebabkan segmen eksport yang lebih lemah berikutan pelarasan strategi melt bulanan MSM Johor (MSMJ). 

 

“MSMJ kini memberi tumpuan kepada produk nilai tambah tinggi yang memberikan margin lebih baik berbanding gula putih bertapis biasa. Dari segi harga, ASP berwajaran turun di bawah RM3,000/tan (-2.5% qoq, -9.3% yoy) kerana MSM mula melepaskan pelanggan tidak menguntungkan yang tidak sejajar dengan strategi margin semasa,” katanya.

 

Sepanjang suku tersebut, kadar penggunaan loji (UF) kumpulan menurun kepada sekitar 45% (berbanding 49% pada 3Q24), berikutan tiada pemberhentian penyelenggaraan berjadual pada Julai untuk MSMJ dan September untuk MSMP. 

 

Ini menyebabkan hasil keseluruhan turun kepada 95.1% (berbanding 95.7% pada 3Q24) yang masih dianggap standard tinggi bagi proses penapisan gula.

 

MBSB Research berkata, dengan jangkaan Boiler 3 beroperasi pada 2Q26 (sebelum ini dianggarkan 1Q26) di kilang Johor, UF MSMJ dijangka berada pada 32%–34% sepanjang FY26–27. 

 

“Bersama operasi tanpa gangguan, UF keseluruhan kumpulan dijangka meningkat kepada 50%–52% berdasarkan anggaran keuntungan semasa. 

 

“Mengambil kira keputusan terkini, kami menyemak semula unjuran keuntungan FY25E–FY27F kepada RM34.0 juta/RM37.6 juta/RM41.8 juta. 

 


“Namun, halangan utama kekal wujud iaitu lebihan bekalan gula Thailand, dianggarkan sekitar 1 juta tan, yang membanjiri pasaran serantau. Lambakan ini memberi tekanan ke bawah kepada ASP, khususnya menerusi hakisan premium dalam segmen borong dan industri.

 

“Oleh itu, penyusutan ASP dijangka berterusan merentasi semua segmen dan menjejaskan margin,” kata firma tersebut. - DagangNews.com