KUALA LUMPUR 28 Nov – MSM Malaysia Holdings Berhad, pengeluar gula bertapis mula menunjukkan pemulihan selepas melalui tempoh prestasi yang mencabar apabila mengurangkan kerugian kepada RM4.6 juta pada suku ketiga tahun kewangan berakhir Disember 2025 (3QFY2025).
Dalam makluman kepad Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, situasi itu lebih baik berbanding kerugian RM49.8 juta pada tempoh yang sama tahun lalu.
“Pendapatan 3QFY2025 pula menyusut 13% kepada RM749 juta berbanding RM861 juta pada 3QFY2024, berikutan jualan eksport yang dikawal.
“Bagi tempoh sembilan bulan pertama 2025, MSM mencatat pendapatan RM2.31 bilion, turun 11% daripada RM2.60 bilion tahun lalu, didorong purata harga jualan (ASP) yang lebih rendah meskipun volum jualan sedikit meningkat,” kata syarikat tersebut.
Dalam tempoh suku ketiga tahun kewangan 2025, MSM mencatatkan penggunaan kapasiti kilang (UF) sebanyak 45%, sedikit menurun berbanding 49% tahun lalu. Penurunan ini disebabkan syarikat mengamalkan strategi “Produce-to-Demand”, iaitu hanya mengeluarkan gula mengikut permintaan sebenar bagi mengelakkan lebihan stok.
Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Hasni Ahmad berkata, industri gula dijangka terus berdepan cabaran pada 2025 berikutan kos input yang tinggi, namun penurunan harga gula mentah global baru-baru ini memberi prospek lebih positif terhadap prestasi MSM bagi tahun kewangan 2026.
Beliau turut menjangkakan permintaan domestik memuncak menjelang hujung tahun ini berikutan musim perayaan.
“Selain itu, langkah penstrukturan operasi turut dilaksanakan bagi menyokong pemulihan keuntungan. MSM juga meneruskan kerjasama rapat dengan Kerajaan melalui platform Industri Gula Bersama bagi memuktamadkan rangka kerja harga mampan untuk segmen gula pek 1kg serta pelaksanaan kawalan import gula bertapis.
“Langkah tersebut penting bagi menjamin keselamatan makanan negara dan memastikan kelestarian jangka panjang sektor gula Malaysia,” katanya.- DagangNews.com








