KUALA LUMPUR 11 Nov – Pentamaster Corp Bhd mencatatkan prestasi sederhana pada tahun kewangan semasa disebabkan kos operasi yang lebih tinggi, perbelanjaan R&D yang besar untuk projek baharu dan ketiadaan insentif cukai terdahulu, kata CGS International.
Firma penyelidikan itu berkata, Pentamaster Corp Bhd mencatatkan mencatat keuntungan bersih teras sebanyak RM40 juta bagi tempoh Sembilan bulan pertama 2025, menurun 34% berbanding tempoh sama tahun lalu.
“Keputusan ini adalah lebih rendah daripada jangkaan penganalisis, dengan capaian hanya sekitar 58 hingga 60% daripada ramalan tahunan penuh.
“Punca penurunan termasuk kos operasi yang lebih tinggi, perbelanjaan R&D bagi projek baru MediQ, serta ketidakefisienan skala operasi,” kata CGSI dalam nota kajiannya.
Bagi suku ketiga 2025, Pentamaster merekodkan keuntungan bersih teras sebanyak RM14.9 juta, turun 36% berbanding suku sama tahun lalu dan hampir sama berbanding suku kedua 2025.
Pendapatan suku ketiga berjumlah RM148.1 juta, menyusut 1.4% tahun ke tahun.
Bagaimanapun, Pentamaster mencatat pertumbuhan pesanan yang ketara, dengan buku pesanan kini berjumlah RM450 juta, meningkat kira-kira RM100 juta berbanding suku sebelumnya.
Syarikat turut memperkenalkan beberapa projek peralatan ujian automatic (ATE) baharu dalam perancangan mereka, termasuk siri "9 Samurai" atau 9S, yang dijangka mendorong pertumbuhan pendapatan pada FY26 dan FY27.
Produk 9S direka untuk menyokong peralihan syarikat ke platform pembungkusan lanjutan berasaskan AI.
Unit perintis dijangka mula diuji antara akhir separuh kedua FY25 hingga separuh pertama FY26, dengan sumbangan pendapatan pertama dijangka pada separuh kedua FY26.
Walaupun produk 9S dijangka mempunyai harga jualan purata lebih tinggi berbanding ATE sedia ada, pertumbuhan margin keuntungan yang ketara hanya dijangka berlaku pada FY27 kerana kos R&D masih tinggi dan kehilangan insentif cukai terdahulu.
Susulan prestasi FY25 yang sederhana, CGSI menurunkan unjuran EPS FY25 sebanyak 17.5% tetapi menaikkan EPS FY26-FY27 sebanyak 2.4 hingga 16.4% berikutan prospek pesanan baharu dan produk 9S.
Dari segi penilaian, firma itu mengekalkan saranan Hold dengan harga sasaran baharu RM3.95, berdasarkan P/E FY26 sebanyak 32.5 kali.
Peningkatan harga sasaran berbanding RM2.70 sebelumnya mencerminkan pertumbuhan potensi dalam sektor berasaskan AI.
CGSI berkata, walaupun FY25 menunjukkan prestasi sederhana, pertumbuhan pesanan baharu dan pelancaran produk 9S dijangka menjadi pemangkin utama bagi pertumbuhan FY26-FY27, sejajar dengan unjuran pertumbuhan keuntungan bersih 2 tahun CAGR sebanyak 40%. - DagangNews.com








