KUALA TERENGGANU 24 Nov – Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) akan terus memacu pembangunan negeri dengan menekankan inisiatif strategik dalam sektor hartanah, tenaga boleh diperbaharui dan pembangunan bandar lestari.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PMINT, Datuk Wan Adnan Wan Derahman berkata, antara projek utama yang sedang dijalankan ketika ini termasuk PMINT Energy yang dimulakan pada 19 November 2025.
Beliau berkata, PMINT Energy adalah komitmen syarikat dalam memajukan tenaga boleh diperbaharui di Terengganu.
“Selain itu, Payang Sentral, hasil kerjasama strategik dengan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), dijangka menghidupkan semula denyut nadi ekonomi bandar melalui pelancongan dan pembangunan bandar moden yang mampan.
“Dalam sektor perumahan, KP Perdana Fasa 8 membabitkan 140 unit rumah komersial dan mampu milik dengan kos pembangunan kasar (GDC) sebanyak RM57.8 juta, manakala Pangsapuri KP Sejahtera pula dijangka dilancarkan dengan anggaran GDC RM60 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Malam Gala & Apresiasi 2025 PMINT yang disempurnakan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di sini malam tadi.
Bagi pembangunan berasaskan Transit-Oriented Development (TOD) pula, beliau berkata, projek Bandar Baru Merang menekankan integrasi pengangkutan, ruang komersial dan rekreasi yang mampan, bertujuan meningkatkan mobiliti, daya saing bandar dan memberi impak ekonomi positif kepada komuniti setempat.
“Sejak ditubuhkan pada 1 April 1965, PMINT telah memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi negeri, daripada sektor kelapa sawit, pembalakan sehingga ke pembangunan hartanah dan bandar moden.
“Sehingga kini, PMINT telah membangunkan hampir 8,000 unit kediaman bernilai hampir RM1.7 bilion dan mengurus hampir 20,000 unit rumah mampu milik di seluruh negeri,” katanya.
Projek ikonik seperti PMINT Square bernilai RM1.5 bilion menjadi bukti komitmen syarikat dalam memperkukuh pembangunan bandar dan memberi manfaat kepada komuniti.
Tambahnya, PMINT turut memperkukuh ekosistem ekonomi melalui sembilan anak syarikat yang beroperasi dalam pelbagai bidang termasuk pembinaan, teknologi makanan, perhotelan, pengurusan fasiliti dan pelombongan.
“Kejayaan anak syarikat ini turut diiktiraf di peringkat antarabangsa, termasuk pencapaian Paya Bunga Hotel.
“Dari aspek tadbir urus, PMINT diiktiraf dengan ISO 9001:2015 dan menjadi perintis Corporate Integrity Pledge (CIP) serta Corruption Risk Management (CRM), menekankan bahawa kejayaan syarikat bukan sahaja diukur dari pembangunan fizikal, tetapi juga integriti dan pengurusan yang cemerlang,” katanya.
Beliau juga optimis PMINT bukan sekadar membina bangunan, tetapi membina harapan dan masa depan rakyat Terengganu, selari dengan aspirasi TNEXT – Terengganu New Economy Transformation untuk menjadikan negeri ini destinasi pelaburan, hab ekonomi digital dan peneraju tenaga hijau di Pantai Timur menjelang 2030. - DagangNews.com








