PETRONAS mula gerudi tiga telaga eksplorasi di Blok 52 luar pesisir Suriname, kata Staatsolie | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PETRONAS mula gerudi tiga telaga eksplorasi di Blok 52 luar pesisir Suriname, kata Staatsolie

PARAMARIBO 6 Julai – Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) memulakan penggerudian hari ini ke atas telaga pertama daripada tiga telaga dalam kempen penerokaan rizab minyak baharu di Blok 52 luar pesisir Suriname, menurut syarikat minyak nasional negara itu Staatsolie.

 

Dalam satu kenyataan, Staatsolie berkata, PETRONAS telah menyewa Noble Corp untuk melaksanakan kerja penggerudian tersebut menggunakan pelantar Noble Developer yang tiba di perairan Suriname awal Julai.

 

"Pihak Berkuasa Alam Sekitar Kebangsaan Suriname telah meluluskan permit untuk program penggerudian ini pada pertengahan Jun, lapor Reuters memetik Staatsolie.

 

 

Staatsolie

 

 

Lembangan Suriname-Guyana kini tumpuan, PETRONAS dilihat ‘kingmaker’

Lembangan Suriname-Guyana, antara wilayah minyak dan gas baharu paling prolifik di dunia, kini mengalami kebangkitan senyap.

 

PETRONAS kini berada di barisan hadapan sebagai ‘kingmaker’ di kawasan itu dengan strategi pengumpulan sumber yang agresif, insentif fiskal menarik serta sinergi projek sedia ada yang mencipta model pelaburan berisiko rendah tetapi berpotensi pulangan tinggi.

 

Dengan tarikh akhir Keputusan Pelaburan Akhir (FID) ditetapkan pada 2026 untuk penemuan minyak dan gas di Blok 52, serta komitmen penggerudian di Blok 66 yang bersebelahan, Petronas berada pada kedudukan strategik untuk membuka potensi nilai berbilion dolar – sekali gus menjadi pelaburan yang tidak wajar diabaikan.

 

Strategi Petronas: Dekat dengan rizab terbukti, insentif fiskal kukuh

PETRONAS kini memegang 80 peratus kepentingan dalam Blok 66 yang diperoleh pada Jun 2025, terletak bersebelahan Blok 52 – kawasan yang mencatatkan penemuan penting sebelum ini.

 

Telaga Slonea-1 yang menemui gas bukan bersekutu berskala besar serta penemuan minyak di telaga Roystonea-1 dan Fusaea-1 telah menjadikan Blok 52 sebagai hab sumber dwifokus.

 

Kini, PETRONAS menyasarkan prospek ‘drill-ready’ di Blok 66, dengan dua telaga eksplorasi wajib dijangka bermula akhir 2025 atau awal 2026. Ia dijangka dapat mengukuhkan asas sumber koridor ini sekali gus mewujudkan skala ekonomi untuk pembangunan masa depan.

 

Lebih penting, terma fiskal yang diperoleh amat menarik. Surat Perjanjian (LoA) dengan Staatsolie pada Mac 2024 memberikan tempoh bebas cukai 10 tahun bermula pengeluaran gas pertama di Blok 52 – langkah yang mampu menurunkan kos pulang modal dan meningkatkan kadar pulangan.

 

Dengan kestabilan geopolitik Suriname, wilayah ini kini menjadi alternatif lebih menarik berbanding wilayah berisiko tinggi dan kos tinggi seperti Artik atau perairan dalam Atlantik. - DagangNews.com